Pelabur bimbang hutang Syed Mokhtar cecah RM34 bilion

Pelabur bimbang hutang Syed Mokhtar cecah RM34 bilion

Seorang pegawai DRB-Hicom memberitahu "angka itu nampaknya besar" tetapi hakikatnya ia mampu ditangani mereka.

syed-mokhtar_ringgit_600

PETALING JAYA:
Taikun tempatan, Syed Mokhtar Al-Bukhary menanggung liabiliti berjumlah RM34 bilion yang merupakan satu daripada hutang korporat terbesar di negara ini.

Hutang-hutang itu telah menimbulkan kebimbangan di kalangan institusi kewangan dan pelabur terhadap potensi tekanan yang dihadapi konglomerat besar seperti Syed Mokhtar, lapor akhbar Singapura, The Straits Times hari ini.

Kepentingan perniagaan Syed Mokhtar termasuk Proton Holdings Bhd yang dimiliki DRB-Hicom yang mendapat pinjaman berjumlah RM1.5 bilion daripada kerajaan pada April lalu.

Kerajaan bersetuju menyuntik dana dengan melanggan saham keutamaan baru dalam syarikat pengeluar kereta tempatan itu.

“Jika Proton gagal membayar balik pinjaman itu, kerajaan akan menukar saham-saham itu dan seterusnya menguasai Proton,” menurut laporan itu.

Ketua Pegawai Pelaburan Manulife Asset Management di ibu negara, Jason Chong berkata, tiada sebab untuk sebuah syarikat swasta diselamatkan kerajaan.

Eksekutif kanan dalam syarikat Syed Mokhtar bagaimanapun tidak menghebohkan kebimbangan mengenai hutang yang ditanggung kumpulan itu.

Seorang pegawai DRB-Hicom memberitahu akhbar itu “angka itu nampaknya besar” tetapi hakikatnya ia mampu ditangani mereka.

Seorang pegawai kanan sebuah bank komersial berkata, Syed Mokhtar berada dalam “keadaan jauh lebih baik” berbanding sedekad lalu dan mereka selesa sebagai pemberi pinjaman kepada kumpulan taikun itu.

Laporan akhbar itu turut menyatakan Syed Mokhtar dilihat sebagai produk daripada sistem naungan korporat yang ada kaitan dengan urusan politik.

Syed Mokhtar yang merupakan antara 10 orang terkaya di Malaysia memiliki pelbagai jenis perniagaan, termasuk pelabuhan strategik di bawah MMC Corp, loji kuasa bebas di bawah Malakoff Berhad juga penanaman dan pemprosesan beras serta gula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.