Katanya, hanya perubahan dasar negara yang mampu mengubah taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar.
“Kemiskinan bagi orang miskin tentulah isu besar, soal hidup dan mati. Tetapi ia tidak boleh diselesaikan secara tempelan, atau sedikit demi sedikit.
“Itu hanyalah penyelesaian sementara yang tidak akan membasmi kemiskinan secara menyeluruh,” kata bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.
Sehubungan itu, katanya isu yang dihadapi penduduk di Kuala Kangsar hanya boleh diselesaikan menerusi neraca nasional.
“Masalah yang dianggap setempat hanya boleh diatasi dengan menyelesaikan isu nasional. Dalam erti kata dilihat secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui dalam satu program ceramah Pakatan Harapan Ahad lalu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas perbandingan antara isu setempat yang menjadi kempen utama BN dan isu nasional yang digalas Pakatan Harapan.
Dalam kempen PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Pakatan Harapan dilihat lebih menumpukan isu nasional seperti GST, 1MDB dan dakwaan pembaziran pemimpin negara.
Pendekatan itu dikritik BN yang mendakwa ia tiada kena mengena dengan pengundi.
BN pula lebih menumpukan kepada isu tempatan seperti meluluskan projek Jambatan Manong dan menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) kepada taraf universiti di Kuala Kangsar, selain menyalurkan bantuan kepada penduduk melalui pelbagai kementerian.
Termizi pada masa sama turut menafikan tanggapan bahawa beliau memandang enteng isu harian yang dihadapi warga Kuala Kangsar.
“Ia tetap perlu diperjuangkan, dan (jika menang) saya akan berbincang dengan parti, NGO dan pihak berkaitan untuk mengenal pasti keutamaannya.
“Saya masih baru dalam politik, maka tidak ingin bercakap hal yang saya belum benar-benar kuasai. Saya mahu realistik, ini bukan tentang meraih undi semata-mata,” katanya.
Bagi menjawab kritikan BN, AMANAH hari ini mengumumkan lima tuntutan ‘Suara Orang Kuale’, antaranya memastikan kerajaan menunaikan janji kempen mereka, penambahan peluang pekerjaan menerusi industri asas tani dan persisiran sungai serta pewujudan pusat latihan kemahiran di Manong.