Warga Israel tipu pasport masuk Malaysia dikecam

Warga Israel tipu pasport masuk Malaysia dikecam

Isma berkata, individu itu perlu disenaraihitamkan kerana dia rakyat Israel dan membuat kenyataan provokasi terhadap kedaulatan undang-undang negara.

hazizi

PETALING JAYA:
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendesak pihak berkuasa menyenaraihitamkan warga Israel, Rudy Rochman yang berjaya masuk ke Malaysia selepas menipu dengan menggunakan pasport Perancis.

Ketua Penerangan Isma Mohd Hazizi Ab Rahman berkata individu itu patut diharamkan masuk ke negara ini atas pasport apa sekali pun selepas ini kerana dia turut membuat kenyataan provokasi terhadap kedaulatan undang-undang negara.

“Bukan saja kerana dia rakyat Israel, bahkan kerana dia membuat kenyataan provokasi terhadap kedaulatan undang-undang negara,” katanya dipetik daripada Ismaweb.net.

Rudy memuat naik status dan gambarnya sambil memegang pasport Israel berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas pada Sabtu lalu.

Dalam statusnya itu, Rudy menulis dia memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis ketika transit selama 12 jam sebelum berlepas ke Sri Lanka, dan mengakui memiliki dua pasport iaitu Israel dan Perancis.

Dia menggunakan pasport Perancis memasuki Malaysia berikutan syarat ketat dikenakan kerajaan terhadap kemasukan warga Israel.

“Walaupun saya tidak bercadang untuk ke Malaysia, saya rasa perlu untuk mengambil gambar ini.

“Walaupun beberapa rakyat Malaysia menyokong Israel secara rahsia, kerajaan dan rakyat mereka masih terus mengharamkan kemasukan warga Israel,” tulisnya di Facebook.

Hazizi berkata tindakan Rudy itu menunjukkan rakyat Israel terdesak untuk mendapatkan sokongan antarabangsa.

“Cuba untuk meraih simpati atas nama diskriminasi, tetapi lupa hakikat mereka menjajah bumi Palestin dan membunuh ribuan umat Islam di sana saban tahun.

“Malaysia negara yang berdaulat. Negara ini boleh tetapkan apa saja undang-undang, termasuk isu hubungan dengan Israel,” katanya kepada portal itu.

Beliau berkata jika kerajaan mewujudkan sebarang hubungan dengan Israel, ia seolah-olah bermakna Malaysia setuju dengan pembantaian rakyat Palestin oleh Israel.

“Undang-undang melarang kemasukan rakyat Israel dan hanya dibenarkan masuk dengan syarat tertentu, bertujuan menyatakan pendirian Malaysia yang sentiasa bersama rakyat Palestin menuntut tanah mereka yang dijajah, suatu hak asasi manusia universal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.