Perayu undi BN diminta perhebatkan kempen

Perayu undi BN diminta perhebatkan kempen

Kemenangan BN penting supaya rakyat dapat terus dibantu dan pada masa sama memastikan Kuala Kangsar terus maju.

Datuk-Shabudin-Yahaya-Datin-Mastura-Mohd-Yazid

KUALA KANGSAR:
Perayu undi Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar diminta memperhebatkan kempen bagi memastikan calon BN menjadi pilihan pengundi.

Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang Datuk Shabudin Yahaya berkata kemenangan BN akan memastikan suara parti itu di dalam Parlimen terus kuat.

“Kemenangan BN juga penting supaya rakyat dapat terus dibantu dan pada masa sama memastikan Kuala Kangsar terus maju,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan lebih 30 perayu undi wanita di Bilik Gerakan BN Pulau Pinang disini hari ini.

Shabudin yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata calon BN Datin Mastura Mohd Yazid merupakan calon terbaik yang dipilih oleh parti bagi meneruskan legasi kepimpinan arwah suaminya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan 18 Jun ini berikutan kematian penyandangnya Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Barisan Nasional, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bebas.

-BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.