Sehubungan itu, bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times itu menyifatkan ia sebagai perkara positif dan demokrasi baru kerana sekurang-kurangnya pemimpin pembangkang tidak hipokrit sesama sendiri.
“Peluang yang baik untuk menolak Barisan Nasional (BN) tetapi pembangkang agak tidak bersedia. Mereka baru sahaja berpecah dan mempunyai masalah dalaman masing-masing.
“Tetapi saya melihat masalah dalaman antara parti-parti Pakatan sebagai dinamik demokrasi baru.
“Sekurang-kurangnya mereka tidak berbohong antara satu sama lain. Jika anda mengambil rasuah, saya akan terus laporkan,” katanya ketika mengadakan lawatan di pejabat AMANAH Sungai Besar hari ini.
Beliau mendakwa, ia berbeza dengan pemimpin parti komponen BN yang dilihat sering melindungi satu sama lain.
“Dalam BN, jika anda korup kami akan melindungi anda,” dakwanya.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung aduan yang diterimanya mengenai permintaan sogokan wang dan wanita ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.
Sementara itu, Kadir turut mempertahankan perebutan kuasa dalam kepimpinan pakatan pembangkang bukanlah satu masalah sebaliknya hanya proses mencapai kematangan.
“Pembangkang mungkin tidak bersedia dari segi kewangan. Bantuan kewangan mungkin diperlukan, tetapi saya lihat mereka (parti pembangkang) lebih mempunyai semangat.
“Parti pembangkang perlukan semangat dan saya rasa ia permulaan yang baik untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” jelasnya.