Katanya, polis pada masa kini menyiasat pihak yang membuat laporan, bukannya laporan itu sendiri.
“Sekarang kita tidak tahu kalau kita buat laporan, polis akan tangkap kita. Dulu polis akan siasat sama ada laporan kita berasas atau tidak.
“Saya pun kena panggil dua tiga kali. Mereka tanya banyak perkara, tapi mungkin sebab saya bodoh, saya tak jawab.
“Kalau nak saya jawab, dalam mahkamah saya boleh jawab,” katanya ketika berucap dalam program ‘1MDB dan Derma Najib Razak’ anjuran Pakatan Harapan pagi tadi.
Tambahnya, di mahkamah nanti beliau dan peguamnya juga akan berpeluang untuk bertanya tentang dakwaan penggunaan jet peribadi oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau merujuk dakwaan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli baru-baru ini bahawa Rosmah menaiki jet peribadi yang disewa kerajaan untuk ke sebuah majlis di Istanbul, Turki pada 27 Mei lalu.
Mahathir sebelum ini pernah dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis antaranya terhadap dakwaan bahawa Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali tidak akan mendakwa Datuk Seri Najib Razak berhubung kes SRC International dan derma RM2.6 bilion ekoran terhutang budi dengan Perdana Menteri itu.
