BN boleh menang dalam keadaan sukar – Penganalisis politik

BN boleh menang dalam keadaan sukar – Penganalisis politik

Selain faktor calon, kekuatan 3M, 'money mechinery and media' yang diguna BN mampu menarik sokongan pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Prof-Madya-Dr-Mohd-Azizuddin-Mohd-Sani

PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kedua-dua kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar dalam PRK namun dalam keadaan sukar.

Perkara itu ditegaskan oleh penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani setelah pemerhatiannya sepanjang lapan hari proses berkempen.

Katanya, kekuataan BN juga bukan disebabkan kepercayaan rakyat terhadap parti itu, sebaliknya pendekatan 3M ‘money, machinery dan media’ selain faktor calon mampu menarik sokongan pengundi kepada parti pemerintah itu.

“Saya lihat BN mampu memperolehi kemenangan di kedua-dua kawasan (Kuala Kangsar dan Sungai Besar) tetapi bukan secara mudah.

“Mereka harus bekerja keras untuk pastikan majoriti meningkat kali ini. Dengan kekuatan 3M, ‘money, machinery and media’, mereka mampu melakukannya. Faktor calon juga dilihat berperanan besar mempengaruhi pengundi kali ini,” katanya kepada FMT.

Di samping faktor di atas, penjelasan isu nasional yang dibuat pucuk pimpinan BN seperti GST, 1MDB, derma RM2.6 bilion yang dijadikan bahan kempen parti pembangkang juga sedikit sebanyak mampu melembutkan kembali hati rakyat untuk terus memberi kepercayaan kepada parti pemerintah itu sehingga PRU14.

“Saya rasa isu nasional ada kesannya. Kehadiran Perdana Menteri di Kuala Kangsar baru-baru ini menjelaskan isu (GST, 1MDB dan derma RM2.6 bilion) kepada pengundi di sana sedikit sebanyak isu ini memberi impak kepada corak pengundian di kedua-kedua kawasan tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai sokongan rakyat kepada pembangkang, Azizuddin menjangka peluang PAS dan AMANAH menang agak kabur.

Ini memandangkan jumlah pengundi Melayu berpecah tiga sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

Malah parti yang dilihat akan terjejas teruk dalam PRK kali ini adalah PAS walaupun bermodalkan kempen Undang-undang (RUU) Persendirian Akta 355 Mahkamah Syariah yang berjaya dibawa ke Parlimen bulan lalu.

Parti Islam itu dikatakan tidak mempunyai kekuatan sekiranya bergerak secara bersendiri, berbeza dengan AMANAH yang menerima bantuan daripada sekutunya PKR dan DAP.

“PAS agak sukar kerana pengundi Melayu telah berpecah tiga dan AMANAH dilihat dibantu PKR dan DAP cuba secara agresif mendapatkan majoriti pengundi Cina menyokong mereka. Saya tidak terkejut sekiranya PAS mendapat tempat ketiga di dalam pertembungan ini,” katanya.

Pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan berikutan kematian bekas penyandangnya Datuk Wan Khair-il Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.