Polis buru 10 paraglider lintas terbang KLCC

Polis buru 10 paraglider lintas terbang KLCC

Polis masih tidak dapat mengenal pasti identiti 10 paraglider itu dan tidak menolak kemungkinan mereka adalah warga asing.

paraglider_klcc_polis_600

PETALING JAYA:
Polis sedang mengesan 10 paraglider yang melintasi Menara Berkembar Petronas (KLCC) Selasa lalu kerana mercu tanda itu adalah kawasan larangan penerbangan.

Menurut laporan China Press, kejadian itu berlaku pada jam 8.40 pagi Selasa lalu dan polis telah membuka kertas siasatan serta giat memburu 10 paraglider itu ekoran laporan daripada pihak pengurusan keselamatan menara itu.

Difahamkan, petugas yang bertanggungjawab memantau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan itu mengesan kira-kira 10 paraglider berlegar di ruang udara bangunan itu sebelum memaklumkan penyelia keselamatan.

Selepas mengesahkan kehadiran kumpulan paraglider itu di ruang udara dekat menara berkenaan melalui CCTV, mereka segera menghubungi Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

DCA kemudiannya membuat laporan polis selepas memastikan tiada sebarang pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Subang dan Sungai Besi yang melalui sekitar KLCC ketika itu.

Hasil siasatan polis mendapati tiada pihak yang memohon untuk mengadakan aktiviti paraglider di sekitar KLCC pada masa itu, tambahan sebarang aktiviti penerbangan di sekitar bangunan berkenaan sememangnya dilarang sama sekali.

Buat masa ini, polis masih tidak dapat mengenal pasti identiti 10 paraglider itu dan tidak menolak kemungkinan mereka adalah warga asing.

Difahamkan, polis telah menjalankan siasatan di banyak lokasi yang mempunyai perkhidmatan paraglider dan payung terjun, tetapi mendapati tiada orang yang menjalankan aktiviti sedemikian ketika itu.

Sehubungan itu, mereka yang mempunyai maklumat atau memuat naik gambar kejadian itu ke media sosial diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.