
“Bukankah majoriti anggota MCA juga rakyat Malaysia yang membayar cukai? Bukankah cukai yang disumbangkan anggota MCA digunakan bagi membangunkan negara termasuk membina masjid dan surau?” soal Setiausaha Biro Keharmonian Agama MCA, Chris Daniel Wong.
Wong mengingatkan Ridhuan petikan ucapan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, dalam Parlimen pada 1958: “Saya ingin menjelaskan bahawa negara ini bukan sebuah negara Islam seperti yang difahami secara umumnya; kita hanya menyatakan bahawa Islam hendaklah menjadi agama rasmi negara”.
“Saya pasti Ridhuan faham sepenuhnya kenyataan di atas,” kata Wong.
Menulis dalam Sinar Harian baru-baru ini, Ridhuan membidas MCA sebagai “parti ultra kiasu yang anti Islam” yang berpura-pura menyokong kerajaan.
“Ironinya, DAP lebih berterus terang daripada MCA, yang menjadi musuh dalam selimut. Tipulah, jika Umno tidak sedar,” kata Ridhuan, yang sebelum ini mengejutkan ramai pihak berkenaan keahliannya dalam parti itu.
Ridhuan turut mengadu beliau tidak didampingi pemimpin MCA bagi mendalami Islam.
“Pemimpinnya jahil tentang ahli mereka sedangkan saban kali saya menerima emel berita buletin MCA. Bagaimanakah saya rasis sehingga 20 tahun di MCA? Isteri saya Melayu lah. Siapa rasis?”
Beberapa pemimpin bukan Islam Barisan Nasional, termasuk presiden MCA dan Gerakan, secara terbuka mempersoalkan sokongan Umno terhadap rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bulan lalu.
RUU yang dibentangkan Hadi itu antara lain mahu memansuhkan had hukuman sedia ada bagi mahkamah syariah, iaitu penjara tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan enam sebatan, dilihat sebagai usaha ke arah memperkenalkan hudud di Kelantan.
Wong berkata Kelantan dilanda pelbagai gejala sosial sambil menuduh kerajaan PAS di negeri itu gagal dalam pentadbirannya.
Menurutnya, gejala penyalahgunaan dadah meningkat 100% di negeri itu daripada 4,255 pada 2010 ke 9,124 pada 2011.
Menurutnya, dari 2008 ke 2010, Kelantan merupakan negeri dengan kes HIV paling tinggi.
“Ridhuan Tee perlu cari jalan bagaimana beliau boleh memberi sumbangan mengurangkan kadar jenayah, AIDS dan HIV di Kelantan,” kata Wong.
“Umno tidak sedar MCA anti-Islam tetapi apa yang Umno sedar ialah setiap keputusan untuk meminda rang undang-undang atau memperkenalkan akta dibuat selepas persetujuan bersama Barisan Nasional.”