Zairil: RUU Hadi bolehkan semua kecuali hukuman mati

Zairil: RUU Hadi bolehkan semua kecuali hukuman mati

Pesalah syariah masih boleh dihukum penjara seumur hidup atau sebatan di khalayak umum.

PETALINGJAYA:
DAP hari ini berkata pindaan yang dicadangkan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sebenarnya membolehkan semua hukum hudud dilaksanakan kecuali hukuman mati.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Zairil Khir Johari berkata dakwaan yang rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bulan lepas sebenarnya bukan bagi tujuan pelaksanaan hudud hanyalah usaha mengaburi mata rakyat.

Menurutnya, walaupun jenayah seperti pencurian, rompakan dan liwat masih di bawah bidang kuasa persekutuan, pindaan yang dicadangkan PAS membolehkan pelaksanaan semua hukum hudud kecuali hukuman mati.

“Oleh itu, memandangkan sebahagian besar daripada enakmen hudud akan diaktifkan dengan pindaan ini, maka adalah salah untuk mengatakan bahawa rang undang-undang Hadi ini tidak berkaitan dengan hudud,” kata Zairil dalam kenyataannya.

RUU yang dibentangkan Hadi itu antara lain mahu memansuhkan had hukuman sedia ada bagi mahkamah syariah, iaitu penjara tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan enam sebatan.

Menurut Zairil, ini bermakna sebarang hukuman lain termasuk penyitaan harta, penjara tanpa had, pemotongan anggota badan dan sebarang bilangan sebatan, boleh dilaksanakan dengan mudah.

Tambahnya, walaupun hukum rejam sampai mati tidak boleh dilaksanakan terhadap kesalahan zina dan murtad, pesalah masih boleh dihukum penjara seumur hidup atau sebatan di khalayak umum.

“Di Malaysia, di mana terdapat golongan minoriti Islam seperti Syiah yang dianggap sesat, kemungkinan ini boleh membawa bahana yang menakutkan,” kata Zairil.

“Senario ini menimbulkan kebimbangan apabila kita mengamati pengalaman pelaksanaan hukum hudud di negara-negara lain pada hari ini. Secara kelaziman, pelaksanaannya mendedahkan bias sosial yang jelas terhadap kumpulan terpinggir, termasuk wanita, orang miskin dan golongan minoriti.

“Apakah jaminan bahawa sistem ini akan mengadili mereka dengan adil?”

Beberapa pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata RUU Hadi itu tidak ada kena-mengena dengan hudud.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.