Undi PAS di Sungai Besar dapat pahala

Undi PAS di Sungai Besar dapat pahala

Sekiranya menang calon parti Islam itu akan membantu melaksanakan hukum Allah di Parlimen kelak, kata ketua penerangan PAS Sungai Besar.

Rani-sungai-besar

SUNGAI BESAR:
Semua pengundi di PRK Sungai Besar akan mendapat pahala jika mengundi calon PAS, Dr Abdul Rani Osman.

Ketua Penerangan PAS Sungai Besar Salahudin Baharum berkata sekiranya calon parti Islam itu menang, beliau akan membantu melaksanakan hukum Allah di Parlimen kelak.

Salahudin berkata demikian sebagai merujuk kepada Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta 355 Mahkamah Syariah yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen.

“Mengundi calon kita maka meningkatkan Mahkamah Syariah itu sendiri.

“Kita sebagai orang Islam, bila Tuan Guru Hadi Awang bentang, sekiranya kita mendapat kemenangan, semua kita akan dapat pahala.

“Undang-undang ini untuk orang Islam saja. Tidak ada kena-mengena dengan DAP dan lain-lain,” katanya ketika berucap di ceramah PAS di Parit 16, di situ malam tadi.

Ceramah yang bermula pada jam 11 malam itu tidak dihadiri pemimpin PAS Pusat dan calon, sebaliknya hanya dihadiri pemimpin PAS tempatan.

Sebaliknya, kekosongan pemimpin PAS Pusat itu diisi dengan kehadiran pimpinan tertinggi Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) termasuk presidennya, Tan Sri Sheikh Kadir Fadzir.

Kira-kira 40 penyokong hadir mendengar amanat yang disampaikan Sheikh Kadir.

Sebelum ini, Hadi di Bagan Sungai Besar menjelaskan kepada pengundi Cina dan India agar tidak khuatir dengan Akta 355, kerana ia tidak melibatkan mereka yang bukan beragama Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.