Merujuk serangan PAS ke atas Pakatan Harapan, Pengerusi AMANAH Perak Asmuni Awi mempersoalkan sama ada ia menandakan solidariti PAS bersama BN.
“Kami tidak berperang dengan mana-mana parti pembangkang. Tiada guna parti itu halakan serangan kepada Pakatan Harapan. Bukan kami yang mentadbir negara dan Perak,” kata Asmuni pada sidang media di Kuala Kangsar hari ini.
“Kenapa berterusan serang kami dan bukannya BN. Adakah itu tanda hubungan kerjasama dan solidariti dengan mereka? Jika ya, nyatakan secara terbuka.”
Kenyataan Asmuni itu sehari selepas bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, yang mewakili PAS menentang AMANAH dan BN di Sungai Besar, menolak sebarang kemungkinan partinya akan bergabung dengan UMNO.
“Kalau ada kerjasama dengan UMNO, saya yang akan jadi orang pertama tinggalkan PAS. Tidak ada rancangan seumpama itu,” Rani dipetik sebagai berkata.
Sementara itu, Asmuni menyeru PAS supaya menumpukan usaha melawan BN.
“Musuh politik kita adalah BN dan kita tiada masa untuk berperang sesama sendiri. Inilah permintaan dari kami,” katanya.
