The Star memetik aktivis anti penculikan di Pulau Jolo, Prof Octavio Dinampo sebagai berkata, masyarakat tempatan di selatan Filipina telah memberi tekanan kepada kumpulan bersenjata itu untuk membebaskan tebusan Malaysia, selepas kenaikan harga barangan keperluan lebih dua kali ganda di wilayah Sulu dan Tawi-tawi ekoran larangan perdagangan tukar barang selama dua bulan sejak 6 April lalu.
Kedua-dua wilayah itu bergantung kepada Sabah untuk mendapatkan bekalan bagi kebanyakan produk pengguna mereka.
Menurut Octavio, harga beras seberat 20kg melonjak daripada kira-kira 500 peso (RM43) kepada lebih 1,000 peso (RM87) selepas larangan itu dilaksanakan.
Selain penguatkuasaan larangan itu, pelbagai operasi yang dilakukan tentera Filipina turut memberi tekanan kepada kumpulan militan itu untuk membebaskan tebusan.
“Kumpulan bersenjata Abu Sayyaf di bawah arahan Majan Sahidjuan atau Apo Mike telah memindahkan empat tebusan mereka di kawasan pergunungan antara Indanan dan Patikul sejak dua bulan lalu untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” kata Octavio yang dipetik The Star.
Adik-beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chi, 29, bersama sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan rakan sekerja, Wong Hung Sing, 34, diculik dari sebuah kapal tunda di perairan antarabangsa di luar Pulau Ligitan, Sabah pada 1 April lalu.
Kumpulan penculik itu pada mulanya meminta wang tebusan sebanyak 300 juta peso (kira-kira RM30 juta) sebelum mengurangkan kepada 180 juta peso (kira-kira RM18 juta) untuk pembebasan empat tebusan terbabit.
Tidak jelas jika ada wang tebusan yang dibayar kepada kumpulan penculik. Namun, beberapa pusingan rundingan dilaporkan berlangsung antara kumpulan militan itu dengan pihak berkuasa Malaysia dan Filipina.
Sebaik saja dibebaskan, empat tebusan itu menaiki bot selama lapan jam dari Jolo ke Sandakan.