Dua sahabat Cina belanja minuman sempena Ramadan

Dua sahabat Cina belanja minuman sempena Ramadan

Mereka bukan beragama Islam tetapi mahu berkongsi rezeki dengan memberi air percuma kepada orang Islam yang berpuasa.

air_free

PETALING JAYA:
Sejak lima tahun lalu, dua sahabat berbangsa Cina dan bukan beragama Islam di Melaka menyediakan air minuman percuma yang diagihkan kepada masyarakat Islam untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan.

Lok Tian Chai, 37, dan Alex Soh, 39, yang mengusahakan kedai telekomunikasi di Taman Seri Telok Emas, di sini berkata bungkusan air minuman disediakan oleh pekerja mereka yang beragama Islam.

“Pekerja kami sediakan sebalang besar air setiap hari sejak lima tahun lalu sepanjang Ramadan mulai jam 6 petang untuk diberikan secara percuma kepada sesiapa saja yang lalu kawasan kedai kami,” kata Tian Chai kepada Sinar Harian.

Ketika ditanya mengapa bersusah payah berbuat demikian, kedua-duanya berkata mereka percaya kepada amalan bersedekah dalam Islam mempunyai manfaat besar.

Katanya, setiap hari air yang disediakan bertukar berselang seli dan antaranya ialah perisa sirap, bandung, sarsi, limau dan tebu.

Malah, pada penghujung Ramadan, mereka akan mengadakan aktiviti mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai.

“Kami upah orang kampung masak dan bungkus bubur lambuk bagi memudahkan ia diagihkan kepada orang ramai yang berpuasa.

“Bagi saya apa yang dilakukan ialah kepuasan dan secara tidak langsung hubungan kami dengan masyarakat terjalin erat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.