Ketua Polis Daerah Arau, Supt Nanda Ma’arof berkata, mereka ditahan di Jalan Ngulang, Datuk Kayaman kira-kira jam 5.15 pagi semalam apabila kereta yang dinaiki mereka berhenti di tepi jalan selepas dikejar kereta peronda polis sejauh dua kilometer.
“Anggota polis yang membuat rondaan rutin mengesan sebuah kereta jenis Nissan Cefiro yang dinaiki dua lelaki Melayu dalam keadaan mencurigakan di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jejawi.
“Apabila menyedari kereta mereka diekori polis, pemandu berkenaan memecut laju ke arah Jalan Ngulang, namun suspek yang dikejar polis sejauh dua kilometer kemudian mengalah dan berhenti di tepi jalan sebelum ditahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis menjumpai daun ketum seberat 300kg yang dibungkus dalam plastik lutsinar dan diletakkan di dalam but serta tempat duduk belakang kereta.
Suspek berumur 25 dan 32 tahun itu ditahan reman empat hari mulai semalam untuk membantu siasatan dan polis sedang mengesan pemilik kereta berkenaan.
– BERNAMA
