“PAS seharusnya tidak mengelirukan amalan agama yang dilakukan secara peribadi dengan usaha memaksa campur tangan agama di lapangan awam,” katanya Timbalan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ng Chok Sin.
Ng memberikan respon terhadap kenyataan Tuan Ibrahim hari ini mempertahankan hak PAS melaksanakan undang-undang syariah ke atas umat Islam, dengan memberi contoh amalan membakar bahan yang dilakukan penganut agama lain.
“Bayangkan kalau ada parti yang hendakkan kerjasama meletakkan syarat di mana penganut agama lain tidak lagi boleh melakukan pembakaran, termasuk pembakaran mayat kerana kekangan undang-undang alam sekitar, apakah kerjasama itu masih akan wujud?,” soal Tuan Ibrahim.
Ng, bagaimanapun, menjelaskan terdapat perbezaan yang jelas antara hudud dan amalan ajaran Tao.
Menurutnya, hudud merupakan campur tangan agama ke dalam lapangan awam dan sistem kehakiman.
Ng turut membidas Tuan Ibrahim kerana cuba melakukan provokasi terhadap masyarakat Tao di tengah kontroversi hudud.
“Penganut Tao cintakan keamanan dan jauh lebih bijak daripada jatuh ke dalam jerat Tuan Ibrahim yang mencetuskan konflik antara orang Islam dan Tao,” katanya.
Beliau menjelaskan amalan pembakaran hanya dilakukan atas sebab-sebab tertentu seperti ulang tahun kematian.
Katanya, pembakaran itu pula dilakukan di premis, rumah, kuil atau tanah perkuburan.
“Orang bukan Islam tidak terus membakar mayat orang tersayang di khalayak ramai tetapi melakukannya dengan cara terhormat, di dalam bangunan tempat pembakaran mayat yang moden menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kementerian persekutuan, serta pihak berkuasa tempatan dan negeri, sebelum mereka dibenarkan beroperasi.
“Syarat tempat pembakaran mayat juga mestilah bersih dan abu mayat tidak dilepaskan ke udara dan mencemarkan alam sekitar,” jelasnya.