Undi PAS sama seperti undi UMNO?

Undi PAS sama seperti undi UMNO?

Mujahid Yusof Rawa membidas kenyataan pemimpin PAS yang mendakwa sokongan terhadap AMANAH dalam PRK kali ini bermaksud menyokong DAP.

Mujahid-pas-umno

SHAH ALAM:
Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa membidas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali yang menyifatkan sokongan terhadap parti serpihan itu sama seperti menyokong DAP.

Beliau merujuk kenyataan Mustafa pada muktamar parti itu yang berlangsung baru-baru ini seperti dilaporkan dalam Sinar Harian, 3 Jun lalu.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai mengelirukan, Mujahid berkata ia tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang ahli politik veteran seperti Mustafa.

“Bila orang lama seperti Mustafa hendak matang dan menunjukkan jalan kepada generasi muda jika beliau hanya berulang menyalahkan orang lain tetapi gagal mengkritik diri sendiri?

“Tidak adil masalah PAS dan AMANAH dipertanggungjawabkan ke atas DAP untuk menutup kelemahan pimpinan PAS yang gagal berubah mengikut keperluan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata AMANAH bukan lahir daripada DAP, sebaliknya ekoran kecelaruan PAS yang menjejaskan usaha menuju politik baharu nasional.

Beliau turut memulangkan paku buah keras kepada Mustafa yang menurutnya mengikut naratif perkauman Umno dalam menyerang DAP dan AMANAH.

“Saya mengharapkan perkara baharu daripada seorang veteran PAS tetapi ternyata PAS kehabisan peluru dan terpaksa memakai peluru UMNO.

“Usahanya membawa naratif UMNO ke atas AMANAH dalam menentukan sikapnya ke atas hubungan AMANAH-DAP membuat saya tertanya-tanya, apakah mengundi PAS nanti sama seperti mengundi UMNO BN?” soalnya.

Laporan Sinar Harian itu turut memetik kenyataan Mustafa yang berkata walaupun tidak bekerjasama dalam Pakatan Harapan, PKR masih merupakan rakan kepada PAS.

Mengulas perkara itu, beliau menyindir Mustafa apabila berkata kenyataan itu menunjukkan kerjasama parti lamanya dengan IKATAN tidak berjaya.

“Sama ada PAS bermain mata dengan rakan rasmi AMANAH iaitu PKR atau PAS merasai kerjasama dengan IKATAN tidak membawa apa-apa makna,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.