Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Law Hong Soon berkata, mereka akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat.
“PDRM telah mengesan mereka yang pernah mengenali Richard ketika dia berada di Malaysia beberapa tahun yang lepas.
“Ini berikutan individu terbabit dipercayai mempunyai maklumat mengenai kegiatan yang dilakukan oleh Huckle,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program ‘Fun Ride’ Portal Kanak-Kanak Hilang di Tasik Perdana hari ini.
Law berkata, sehingga kini, PDRM belum menerima laporan polis daripada kanak-kanak yang menjadi mangsa kegiatan pedofil itu.
“PDRM tidak pernah menerima laporan. Dia (Richard) juga masuk ke negara ini secara sah sebagai pekerja sosial. Sebab itu sehingga kini, belum ada sebarang tindakan.
“Lagipun, laman sesawang yang digunakannya tidak dapat diakses kecuali oleh individu tertentu sahaja,” katanya.
Beliau berkata, PDRM menerusi Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) sedang mengumpul maklumat terutamanya di pusat jagaan bagi mengenal pasti identiti mangsa.
“Selain itu, kami telah menghubungi pihak berkuasa United Kingdom untuk membantu menyalurkan maklumat kepada PDRM berhubung kes ini,” katanya.
Media British melaporkan Richard, 30, seorang jurugambar bebas mungkin mencabuli sehingga 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun sejak 2006 hingga 2014.
BBC melaporkan prosiding menjatuhkan hukuman terhadapnya bermula di London pada Rabu dan dijangka selesai Jumaat.
Dia berdepan 91 pertuduhan yang mengaitkan 23 kanak-kanak kebanyakannya daripada komuniti miskin di Kuala Lumpur. Dia mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan.
Richard berkata, dia melawat Malaysia untuk program penempatan mengajar semasa berusia 18 atau 19 tahun, sebelum dia melatih kanak-kanak melakukan seks ketika menjalankan kerja sukarela di Kuala Lumpur.
– BERNAMA
