Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Dr Balachandran G Krishnan berkata penganut agama Hindu, Buddha dan Kristian akan menjadi lebih baik apabila mereka bersama PAS berbanding parti lain.
Ini kerana nilai murni yang diterapkan oleh parti itu akan meningkatkan kefahaman agama masing-masing.
“Menjadi seorang Islam adalah hal Allah, yang penting kita ditarbiah sebagai seorang yang baik, Hindu yang lebih baik, Kristian yang lebih baik itu yang penting (apabila mereka bersama PAS berbanding menyertai parti lain).
“Nilai murni yang diterapkan pemimppin PAS boleh meningkatkan kefahaman agama masing-masing. Ini akan menjadi seorang bukan Islam menjadi seorang yang lebih baik,” katanya ketika berucap di persidangan Muktamar Tahunan PAS di PUTIK hari ini.
Tidak cukup dengan kata-kata tersebut, Balachandran berkata, parti yang membawa perjuangan perkauman tidak akan selamat berbanding PAS yang membawa perjuangan Islam.
“Kenapa kita (bukan Islam) bersama PAS? Kita bersama PAS sebab akidah perjuangan PAS berteraskan agama, bukan perkauman. Hidup Melayu takkan janji Islam selamat, tapi hidup Islam kita semua selamat.
“Kekuatan PAS bukan dengan Pakatan Rakyat, bersama DAP atau PKR. Ramai percaya begitu ,kekuatan kita adalah dengan Islam. Sebab tu kita boleh pergi berseorang, sebab itu Allah bagi kita rahmat DHPP dalam PAS,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut membidas tindakan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam sebagai individu yang lembab susulan ugutan melepaskan jawatan Jemaah Menteri sekiranya undang-undang hudud dilaksanakan
“Kita sokong penuh pembentangan RUU Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah) sebab kita faham, bahawa ia untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.
“Ramai bukan Islam tak faham sebab itu bila Subramaniam ugut nak letak jawatan, Subramaniam ini seorang pemimpin lembab. Kalau nak faham Islam boleh panggil kita (DHPP), kita boleh ajar dia,” katanya.