EXCO KEDAH kembali kepada MCA

EXCO KEDAH kembali kepada MCA

ADUN Gurun itu menarik balik keputusan keluar daripada MCA selepas menyaksikan perpaduan di kalangan parti komponen BN yang menentang RUU Persendirian itu.

Dr-Leong-Yong-Kong
PETALING JAYA: Satu-satunya EXCO MCA di Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong menarik balik keputusannya untuk keluar daripada parti itu, gara-gara tidak berpuas hati dengan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2010) di Dewan Rakyat minggu lalu.

Timbalan Pengerusi MCA itu dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusannya itu dibuat selepas menyaksikan komitmen ditunjukkan pucuk pimpinan MCA dan parti komponen BN lain yang menentang RUU Persendirian itu.

“Ditambah pula gesaan akar umbi parti pada minggu lalu supaya saya menyertai dan menyokong Presiden dan Jawatankuasa Pusat MCA untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, saya telah memutuskan untuk menarik balik keputusan keluar daripada parti,” katanya.

ADUN Gurun itu turut berkata, ketika beliau mengumumkan keputusan untuk meninggalkan parti itu pada Jumaat lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengulangi parti itu akan mengekalkan pendirian tegas mereka terhadap RUU itu.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilaporkan sebagai berkata, beliau tidak menerima sebarang cadangan nama daripada MCA untuk menggantikan Yong Kong dalam barisan EXCOnya.

Ahmad Bashah berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu dan menyifatkan ia sekadar khabar angin biasa.

Menteri Besar itu mengulas dakwaan kononnya beliau sudah menerima nama calon yang akan menggantikan Yong Kong, memandangkan hanya satu kuota EXCO negeri diperuntukkan kepada MCA.

Ahmad Bashah berkata, isu kononnya MCA dipinggirkan dan hanya menjadi ‘sleeping partner’ BN juga tidak patut timbul kerana beliau sering mengadakan mesyuarat bersama parti-parti komponen.

Yong Kong sebelum ini hanya mengumumkan untuk keluar daripada MCA, tetapi tidak meletak jawatan sebagai EXCO Kedah.

Selain Yong Kong, pemimpin parti komponen BN lain turut mengugut akan melepaskan jawatan dalam Kabinet jika BN terus menyokong RUU itu, mereka termasuk Tiong Lai; timbalannya, Datuk Seri Wee Ka Siong; Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong dan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.