Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed mendakwa susulan tekanan daripada BN, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terpaksa bersekongkol untuk turut menyokong pelaksanaan cukai zalim itu kepada rakyat.
“Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan diperalatkan untuk mengharuskan GST yang zalim itu. Dewan Ulama PAS tetap mempertegaskan bahawa GST haram kerana gagal memenuhi syarat-syarat keharusan cukai yang digariskan ulama.
“Kesan buruk GST menyebabkan kenaikan harga barang yang melampau. Dengan GST harta rakyat termasuk golongan miskin dirompak secara berlesen sehingga menjangkau jumlah RM42 juta sehari sebagaimana diumumkan oleh kerajaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS ke-55 di Tok Bali, malam tadi.
Sehubungan itu, Dewan Ulama PAS menyeru rakyat menolak BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan tidak lagi memberi mandat kepada parti yang telah mengkhianati amanah rakyat sebelum ini.
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 20 April 2015 sekali lagi menegaskan pelaksanaan GST adalah harus selagi ada keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat.
Pengerusinya, Tan Sri Abd Shukor Husin dilaporkan sebagai berkata, pelaksanaan sistem cukai baru itu bagaimanapun perlu berpandukan enam parameter syarak yang digariskan jawatankuasa itu, termasuk kerajaan komited tujuan kutipan adalah untuk melaksana dan meningkatkan syariat Islam.
