Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya juga akan membantu Mastura untuk berkempen melalui kenderaan yang dilengkapi skrin LED.
“Untuk Datin Mastura saya akan wujudkan mini studio di rumahnya dan kita akan menggunakan kenderaan bergerak yang dilengkapi LED. Mobil LED ini akan bergerak dari satu tempat ke tempat lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Annuar berkata Mastura boleh memilih mana-mana kawasan di sekitar Parlimen Kuala Kangsar untuk berkempen dan pihaknya juga akan mewujudkan sesi siaran langsung (live) bersama Mastura.
“Di mana-mana ada majlis dan kehadiran yang ramai beliau boleh berhubung secara langsung. Program yang kita aturkan secara live streaming dan rakaman.
“Ini bermakna suara Datin Mastura akan berada dalam segenap pelosok Parlimen Kuala Kangsar,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini merupakan julung kalinya BN menggunakan strategi berkempen tanpa calon.
Ia digunakan selepas mengambil kira fatwa mengikut hukum qat’ie dalam Islam berkaitan tempoh iddah seseorang wanita yang kematian suami.
