KPN, netizen puji anggota URB tumpangkan OKU

KPN, netizen puji anggota URB tumpangkan OKU

Lelaki OKU itu kudung kedua-dua kaki serta tangan kirinya dan terpaksa bergantung kepada kekuatan tangan kanan serta badannya untuk bergerak.

oku

PETALING JAYA:
Tindakan seorang anggota polis bermotosikal menumpangkan seorang OKU mendapat pujian netizen.

Tiga gambar anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) itu mula tersebar di laman media sosial Facebook sejak semalam.

Selain netizen, tindakan anggota polis itu turut dipuji Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memuat naik tiga gambar berkenaan dan disertakan status ‘Syabas URB @PDRMsia #PolisDanMasyarakatBerpisahTiada ke akaun Twitternya.

Menurut laporan Sin Chew Daily, Koperal Ropi dari Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang sedang membuat rondaan di Jalan Tun Mohd Fuad 1 pada jam 8 malam Ahad bertindak menumpangkan seorang lelaki OKU yang sedang berjalan seorang diri.

Ropi memberitahu akhbar berbahasa Cina itu, lelaki OKU itu kudung kedua-dua kaki serta tangan kirinya dan terpaksa bergantung kepada kekuatan tangan kanan serta badannya untuk bergerak.

“Saya bimbang ada kereta tidak perasan dia kerana hari sudah gelap, jadi saya tawarkan diri untuk hantar dia ke stesen bas berdekatan,” katanya.

Orang yang merakamkan gambar itu adalah seorang lagi anggota polis yang turut membuat rondaan bersamanya dan beliau juga tidak sangka rakan sekerjanya akan memuat naik gambar itu ke Facebook sehingga menjadi viral.

Sehingga kini, gambar yang turut dimuat naik ke laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia itu telah mendapat 4,800 like dengan 223 orang berkongsi gambar berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.