DAP, MCA, MIC, GERAKAN tak perlu persoal – DHPP

DAP, MCA, MIC, GERAKAN tak perlu persoal – DHPP

Balasubramaniam percaya penentang pindaan menambah hukuman jenayah syariah itu bertujuan merosakkan imej PAS di mata rakyat.

N-Balasubramaniam
PETALING JAYA: Dewan Himpunan PAS (DHPP) membidas DAP, MCA, MIC dan GERAKAN yang secara berterusan menentang usaha PAS membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen.

Ketua DHPP, N Balasubramaniam berkata, pemimpin bukan Islam tidak seharusnya mempertikai usaha PAS itu kerana ia melibatkan kepentingan agama Islam dan agama lain tidak perlu masuk campur.

Malah, beliau percaya penentang pindaan menambah hukuman jenayah syariah itu bertujuan merosakkan imej PAS di mata rakyat.

“Saya rasa orang yang duduk dalam Parlimen dan pakar undang-undang, sepatutnya faham benda ini dan tak perlu di persoal.

“Mereka (DAP MCA, MIC, GERAKAN) sengaja nak rosakkan imej PAS, kalau tak suka pun jangan heboh sampai ugut nak letak jawatan.

“Hak hudud kalau orang Islam sendiri tidak mahu kita faham tetapi yang bukan Islam tidak ada kena mengena dengan isu itu, kenapa mereka nak bising?” katanya kepada FMT.

Menurut Balasubramaniam, ahli DHPP sebulat suara menyokong usul kontroversi itu selepas mendengar sendiri penjelasan daripada pucuk pimpinan parti.

“Sehingga hari ini tiada ahli DHPP dan kelab penyokong membuat bising tentang perkara ini (hudud),” katanya, “kita tidak bantah sebab itu hak orang Islam dan hak agama sama juga bila perkara itu melibatkan agama lain orang Islam tidak boleh bantah.”

Terdahulu, beberapa pemimpin komponen BN mengugut untuk melepaskan jawatan dari kabinet sekiranya hudud diluluskan di Parlimen, malah pemimpin DAP tetap dengan pendirian mereka menentang hukum Islam itu dari awal ketika masih bersama PAS dalam Pakatan Rakyat.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.