Tumpahan minyak di laut Pulau Pinang parah

Tumpahan minyak di laut Pulau Pinang parah

Kejadian petrol dan minyak enjin yang tumpah di Selat Utara di Pulau Pinang mungkin jadi semakin teruk jika tidak dibersihkan serta-merta.

tumpah-minyak

GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata tumpahan minyak di Selat Melaka di bahagian Pulau Pinang menjadi kemelut pencemaran alam sekitar yang teruk.

Katanya, walaupun pihak berkuasa negeri tidak mempunyai bidang kuasa dalam hal berkaitan maritim, Pulau Pinang lewat dimaklumkan mengenai insiden itu.

Guan Eng berkata kejadian tumpahan daripada kapal yang berdaftar di Pelabuhan Klang itu hanya dilaporkan kepada pihak berkuasa negeri pada malam tadi, kira-kira 24 jam selepas kejadian.

“Tumpahan minyak ini sangat serius, di kawasan meliputi kira-kira 70 km persegi, dan saya rasa ia akan jadi krisis alam sekitar yang besar.

“Kami tidak boleh buat apa-apa kerana perkara membabitkan maritim di bawah kerajaan persekutuan.

“Kami hanya dimaklumkan 24 jam selepas kejadian, ini tidak boleh diterima,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis keagamaan di kuil Kahlee Amman di Air Itam hari ini.

Guan Eng berkata tangki produk minyak MT Nautica Maharani dilaporkan menumpahkan minyak di Selat Utara pada Jumaat malam.

Beliau juga menafikan laporan akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa pencemaran itu berpunca daripada kerja penambakan laut.

The Star yang pertama melaporkan tumpahan minyak menyebabkan air dari Jeti Swettenham ke Gurney bertukar payau.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh memberitahu akhbar itu siasatan awal mendapati tumpahan itu ialah campuran petrol dan minyak enjin.

Mengulas lanjut, Lim berkata kerajaan persekutuan perlu menghantar aset mereka untuk membersihkan tumpahan itu.

“Mereka tidak boleh sekadar cuci tangan dan buat tidak tahu. Ini perairan Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.