Pembalak Gua Musang cuba ugut, rasuah Orang Asli

Pembalak Gua Musang cuba ugut, rasuah Orang Asli

Siti Kasim menggesa orang ramai menyumbang makanan dan wang untuk membantu penduduk kampung Orang Asli di Gua Musang itu.

gua-musang-1

PETALING JAYA:
Taktik pembalak di Gua Musang dikecam kerana mereka mengeluarkan ancaman keganasan dan rasuah secara terang-terangan untuk memaksa Orang Asli Temiar membenarkan mereka menebang hutan asli itu.

Aktivis hak asasi, Siti Kasim mendedahkan rayuan penduduk Kampung Bering, Pos Gob dan Kampung Gawin itu di laman Facebooknya baru-baru ini, selepas dihubungi penduduk kampung terbabit.

“Ini ialah Dolah dari Kg Bering. Dengar ceritanya mengenai cara pembalak cuba merasuah mereka. Bukan rasuah sahaja malah mereka membuat ancaman keganasan terhadap penduduk kampung,” tulisnya dalam Facebook beiau yang disertakan gambar-gambar kem pembalakan itu.

“Anda tidak boleh bayangkan ketakutan mereka. Mereka hubungi saya apabila mula-mula dirasuah dan mahu saya bantu mereka ‘esok’…tetapi ternyata saya tak boleh.

“Bagaimanapun, saya telah menasihatkan mereka (mengenai) perkara yang perlu. Saya syukur pergi ke sana kerana mereka amat takut (dan tidak tahu) apa perlu dilakukan,” katanya.

Siti Kasim berkata, pembalak telah mula meneroka jalan-jalan pembalakan baru dan berkongsi tempat tinggal dengan pekerja mereka, susulan cubaan untuk memasuki hutan-hutan yang belum ditebang di Gua Musang.

Beliau telah menarik perhatian pembalak selepas beberapa kali mengunjungi hutan yang diterokai itu bagi meninjau keadaan di sana.

“Sudah tentu (kehadiran) saya begitu menonjol.

“Pagi ini Musa dari Bering telefon dan tanya jika mereka boleh beri nombor telefon saya kepada mereka (pembalak). Saya kata silakan jika mereka tidak tahu apa yang perlu dikatakan kepada pembalak-pembalak itu,” katanya.

Siti Kasim berkata, pembalak-pembalak itu nampaknya tidak memahami keengganan penduduk membenarkan mereka membuka jalan-jalan pembalakan.

“Seorang daripada mereka tanya saya, kenapa mereka tidak mahu jalan-jalan itu? Lagipun mereka semua boleh menggunakan jalan-jalan baru ini juga.

“Tidak…saya kata, bukan anda seorang yang menggunakannya. Mereka (Orang Asli) tidak pernah meminta jalan-jalan. Nampaknya mereka tidak begitu gembira apabila saya kata begitu,” kata Siti Kasim ketika dihubungi FMT.

Beliau yang tidak setuju dengan penempatan semula penduduk kampung itu berkata, Orang Asli berkenaan mempunyai masalah untuk hidup di tempat lain.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai menyumbang makanan dan wang untuk membantu penduduk kampung terbabit memandangkan sekatan-sekatan terhadap pembalak itu telah menyebabkan mereka tiada masa untuk memberi makan kepada keluarga.

“Anda boleh derma dalam bentuk apa sahaja. Makanan yang tahan lama seperti ikan bilis, beras, makanan tin dan sebagainya.

“Anda juga boleh menyumbang wang di mana saya akan membeli barangan yang mereka perlukan,” tambahnya orang ramai boleh menghubungi beliau melalui Facebooknya untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Masyarakat Orang Asli di Kampung Sigar, Gua Musang dilaporkan bertekad menahan jentolak daripada terus menceroboh tanah mereka hari ini, selepas perbincangan dengan kontraktor untuk menghentikan sementara kerja-kerja mereka tidak membuahkan hasil.

Penyelaras Biro Orang Asli Parti Sosialis Malaysia (PSM), Suresh Kumar berkata, penduduk bersama Biro Orang Asli PSM juga akan mendirikan khemah di kawasan terbabit untuk memastikan kerja-kerja penolakan tanah yang bermula sejak seminggu lalu tidak lagi diteruskan.

Video link: Facebook Siti Kasim

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.