Ahli Parlimen miskin mudah terseleweng jika gaji naik

Ahli Parlimen miskin mudah terseleweng jika gaji naik

Michael Jeyakumar Devaraj satu-satunya ahli Parlimen yang mengisytiharkan kesemua hartanya sejak 2008

jaya-1

KUALA LUMPUR:
Ahli-ahli Parlimen daripada latar belakang sederhana mudah terseleweng sekiranya gaji dan elaun mereka melonjak naik, kata seorang wakil rakyat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ahli Parlimen Sungai Siput, Michael Jeyakumar Devaraj berkata gaji ahli Parlimen sahaja bagi tahun ini meletakkan mereka dalam kumpulan 5% penerima gaji tertinggi di negara ini.

“Dalam kalangan ahli Parlimen barangkali saya dalam kalangan termiskin tetapi gaji saya meletakkan saya dalam kumpulan pendapatan 5% teratas.”

Michael satu-satunya ahli Parlimen yang mengisytiharkan kesemua aset dan hartanya sejak mengangkat sumpah pada 2008.

“Kamu boleh terseleweng dengan semua kelebihan dan manfaat sebagai ahli Parlimen. Barangkali gaya hidup ini tidak beri apa-apa kesan sekiranya kamu berasal daripada golongan berada,” katnya dalam sidang media pengisytiharaan aset yang dibuatnya secara tahunan di ibu pejabat PSM di Brickfields hari ini.

Gaji dan elaun ahli Parlimen melonjak daripada RM6,508.59 kepada RM16,000 sebulan selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Parlimen (Saraan) (Pindaan) pada April tahun lalu.

Malah, lonjakan itu lebih tinggi berbanding rancangan asal untuk menaikkan saraan ahli Parlimen kepada RM11,000 ketika rang undang-undang dibentangkan pada November 2014.

Dengan gaji dan elaun baharu ini, pendapatan bulanan Michael daripada gaji dan elaun sebagai ahli Parlimen bertambah daripada RM12,950 kepada RM25,500.

Bekas doktor kerajaan itu juga menerima pencen RM2,441 setiap bulan.

Nilai rumah sebandung miliknya di Ipoh turut meningkat sebanyak RM10,000 kepada RM150,000.

Beliau mempunyai empat kenderaan untuk kegunaan peribadi dan pejabat yang dinilaikan pada RM30,000 termasuk sebuah pacuan empat roda terpakai yang dibelinya beberapa tahun lalu.

Michael buat pertama kali turut mengumumkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM130,000 yang dicarum ketika berkhidmat sebagai doktor kerajaan.

Beliau kini mengusahakan sebuah klinik di Sungai Siput yang dibuka seminggu sekali dan beroperasi dalam kerugian.

Ketika ditanya mengapa tidak mengumumkan simpanan KWSP sebelum ini, Michael hanya tersenyum dan berkata tidak terfikir sebelum ini.

“Caruman KWSP dibuat 10 tahun pertama saya berkhidmat sebagai doktor kerajaan. Selepas itu gaji saya dipotong untuk dana persaraan,” tambahnya.

Michael turut mengumumkan menerima sejumlah RM242,296 untuk Parlimen Sungai Siput, sebahagian besarnya daripada gajinya sendiri dan juga RM41,920 daripada sumbangan rakan-rakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.