
Dalam laporan Channel News Asia, Mahkamah Rayuan Singapura menolak permohonan kedua Jabing kerana ia perlu dibuat dalam tempoh dua hari, dan pada masa sama hakim menegur peguam Jabing kerana “menyalahgunakan proses mahkamah”.
“Ada banyak perkara dalam kes ini. Tetapi hari ini ia tentang salah guna proses mahkamah,” kata Hakim Chao Hick Tin.
Panel lima hakim itu menegur Jeannette Chong-Aruldoss dan Alfred Dodwell kerana membuat dua rayuan saat akhir mencabar beberapa isu yang sepatutnya sudah boleh dibangkitkan lebih awal, termasuk mengenai perlembagaan rejim menjatuhkan hukuman sekali lagi.
“Anda sudah sedia tahu pelaksanaan hukuman sepatutnya tahun lalu,” kata Chao.
Chong-Aruldoss dan Dodwell memfailkan tindakan sivil berasingan pada Khamis berhubung kes Jabing, iaitu berkenaan perkara jenayah.
Chao berkata permohonan difailkan satu demi satu oleh peguam, menyatakan sistem perundangan “akan terjejas jika kita membenarkan sistem dirosakkan” seperti ini.
Peguam Kanan dan Timbalan Pendakwa Raya Francis Ng berkata peguam Jabing mengemukakan lagi permohonan berkenaan bertujuan untuk melengahkan lagi masa.
Katanya, dua tindakan sivil yang difailkan, yang dikemukakan peguam berbeza tetapi mengandungi hujahan sama, adalah salah guna terhadap proses itu.
Peguam Gino Singh memfailkan satu usul pada Rabu, yang mendakwa Hakim Mahkamah Rayuan Andrew Phang berat sebelah ketika mempertimbangkan dua rayuan Jabing terdahulu pada 2010 dan 2013.
Usul itu ditolak pada petang semalam (Khamis). Selepas pendakwaan itu, Ng memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan permohonan kedua difailkan awal pagi Khamis.
Ng menggelar usul itu, yang difailkan Chong-Aruldoss sebagai “salah guna proses”, rayuan berganda yang difailkan pada masa sama. Dodwell juga memfailkan permohonan, tetapi kemudian menarik semula pada hari sama.
Berasal dari Ulu Baram, Sarawak, Jabing, 31, dihukum gantung pada 2010 selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja binaan warga Cina dalam cubaan rompakan di Geyland Drive di sini pada 2008.
Pada 2013, seorang hakim Mahkamah Tinggi mengubah hukuman ke atasnya kepada hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan susulan kajian semula undang-undang mati mandatori di Singapura.
Bagaimanapun, pendakwa raya mencabar keputusan itu di Mahkamah Rayuan, mahkamah tertinggi Singapura. Mahkamah itu kemudian membenarkan rayuan pendakwa raya dan mengembalikan hukuman matinya pada Januari 2015.
Kemudian Mahkamah Tinggi menolak rayuan terakhirnya pada 5 April lepas.