Jabing: Kes cabar penghakiman hari ini

Jabing: Kes cabar penghakiman hari ini

Keluarganya menerima surat minggu lepas yang menyatakan Jabing akan menjalani hukuman gantung, Jumaat ini.

kho-jabing (1)

SINGAPURA:
Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan yang difailkan peguam warganegara Malaysia Jabing Kho bagi mencabar penghakiman mahkamah yang menjatuhkan hukuman gantung terhadap anak kelahiran Sarawak itu, hari ini.

Mengikut laman web mahkamah itu, prosiding akan diadakan pada 2.30 petang di hadapan Hakim Chao Hick Tin, Andrew Phang, Woo Bih Li, Lee Seiu Kin dan Chan Seng Onn.

Dilaporkan peguam Jabing, Gino Hardial Singh memfailkan permohonan itu atas alasan berat sebelah berikutan hakim Mahkamah Rayuan, Phang turut terlibat dalam kes itu Mahkamah Tinggi pada 2010 dan sekali lagi pada 2013.

Keluarga Kho menerima surat dari Jabatan Penjara Singapura minggu lepas yang menyatakan Jabing akan menjalani hukuman gantung, Jumaat ini.

Berasal dari Ulu Baram, Sarawak, Jabing, 31, dihukum gantung pada 2010 selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja binaan warga Cina dalam cubaan rompakan di Geyland Drive di sini pada 2008.

Pada 2013, seorang hakim Mahkamah Tinggi mengubah hukuman ke atasnya kepada hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan susulan kajian semula undang-undang mati mandatori di Singapura.

Bagaimanapun, pendakwa raya mencabar keputusan itu di Mahkamah Rayuan, mahkamah tertinggi Singapura. Mahkamah itu kemudian membenarkan rayuan pendakwa raya dan mengembalikan hukuman matinya pada Januari 2015.

Kemudian Mahkamah Tinggi menolak rayuan terakhirnya pada 5 April lepas.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.