Peniaga online tidak terlepas cukai

Peniaga online tidak terlepas cukai

KPDNKK turut menggalakkan peniaga online untuk berdaftar dengan SSM.

kpdnkk

KUALA LUMPUR:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak menolak mengenai cadangan Kementerian Kewangan untuk mengenakan cukai ke atas perniagaan dalam talian atau ‘online’ pada tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata buat masa ini pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Kewangan untuk mengkaji langkah tersebut.

“Kita harap dengan ada akta baru itu memudahkan mereka berniaga dan harap perniagaan bertambah maju.

“Cadangan itu masih lagi dalam peringkat kajian. KPDNKK menggalakkan peniaga khususnya yang berniaga secara dalam talian ini untuk mendaftar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Menara SSM.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Kementerian Kewangan yang kemungkinan untuk mengenakan cukai ke atas perniagaan dalam talian pada tahun depan, sejajar kepesatan perkembangan sektor berasaskan Internet di negara ini.

Zainudin berkata beliau berpuas hati apabila jumlah peniaga dalam talian yang mendaftar dengan SSM semakin meningkat.

“Jumlah peniaga dalam talian saban hari meningkat dan melebihi 30,000 pendaftar tetapi tidak melebihi 35,000 pendaftar lagi,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata pihaknya mengarahkan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan kajian terperinci mengenai perkara itu.

Malah, katanya, LHDN yang menubuhkan Bahagian Perniagaan dan Perdagangan Dalam Talian, turut bekerjasama dengan SMM bagi tujuan itu.

“Kita perlu mengenakan cukai terhadap mereka yang memperoleh pendapatan boleh dicukai.

“Jika tidak, ia hanya menyebabkan kerugian kepada kerajaan yang kehilangan hasil ketika semakin banyak syarikat perniagaan beralih kepada ekonomi digital,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.