Selangor tidak halang warga asing guna bas percuma – EXCO

Selangor tidak halang warga asing guna bas percuma – EXCO

Kita tidak boleh mendiskriminasi warga asing yang juga telah banyak membantu dalam pembangunan ekonomi negeri.

bas-selangor
SELAYANG: Kerajaan Selangor tidak akan menghalang warga asing daripada menggunakan perkhidmatan bas percuma yang akan beroperasi sepenuhnya Julai ini.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim berkata, semua rakyat yang berada di Selangor akan menerima layanan yang sama rata termasuk warga asing.

Ini kerana kumpulan itu juga telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Warga asing bekerja di kilang, dia juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Tanpa warga asing tentu banyak perniagaan kena tutup, itu kita kena faham.

“Dia hidup seperti kita jadi tidak elok mendiskriminasi. Ajaran agama kita pun mengajar semua manusia adalah sama rata. Bayangkan perasaan sendiri jika dilakukan sebegitu,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri perasmian Majlis Pelancaran Bas Selangorku di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang.

ADUN Sungai Pinang itu menambah, semua laluan bas percuma di 12 kawasan PBT di seluruh Selangor telah dikaji dan disahkan tidak mengganggu perkhidmatan bas dan teksi komersial sebaliknya akan dijamin akan membantu meningkatkan pendapatan meraka.

Semantara itu, ADUN Taman Templer yang juga EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kerajaan negeri telah mengkaji secara mendalam laluan bas percuma yang dibuat untuk kepentingan rakyat tempatan.

“Perkhidmatan bas percuma ini adalah satu kejayaan besar buat rakyat, malah halangan warga asing juga tidak berlaku kerana perkara ini sudah diambil kira laluan, malah kita bukan nak nafi keperluan untuk warga asing tetapi keutamaan kita adalah untuk rakyat tempatan itu sendiri,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.