PAS Selangor tetap mahu bertanding di Sg Besar

PAS Selangor tetap mahu bertanding di Sg Besar

PAS Selangor telah menyenaraikan enam calon yang akan diangkat bagi mewakili parti Islam itu di PRK Sungai Besar.

pas-sungai-besar
SELAYANG: PAS Selangor tetap mahu bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 18 Jun ini walaupun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan perbincangan akan diadakan dengan parti Islam itu.

Bendahari PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, keputusan muktamad itu telah dibuat dalam mesyuarat parti terbabit sebelum ini.

“Kita PAS Selangor telah memuktamadkan PAS akan bertanding di PKR Sungai Besar dan kita berharap tidak ada pertembungan dengan parti pembangkang yang lain.

“Persiapan PAS Selangor juga sebenarnya sudah lama malah sebelum PRK lagi untuk berdepan PRU, bila mana berlaku PRK kita menggerakkan jentera dari awal dan kita tahu orang-orang kuat parti ada di sana,” katanya selepas menghadiri perasmian Majlis Pelancaran Bas Selangorku di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang hari ini.

Zaidy yang juga EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, PAS negeri juga telah menyenaraikan enam calon untuk diketengahkan bagi mewakili parti itu pada PRK Sungai Besar.

“Kita sudah ada calon berdasarkan senarai kita ada enam calon, kita juga tidak ketandusan calon malah ia sesuai dengan kehendak masyarakat, malah ianya semua calon tempatan, tetapi itu di peringkat negeri apa pun keputusan terakhir kita serahkan kepada PAS pusat,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaidy berkata, PAS Selangor telah mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan PKR berhubung PRK Sungai Besar, namun terpulang kepada PAS pusat untuk membuat perbincangan rasmi nanti bagi memastikan tidak berlaku pertembungan antara parti dalam Pakatan Harapan.

Semalam, FMT memetik sumber yang rapat dengan PKR sebagai mendedahkan kumpulan tertentu dalam parti itu yang dikatakan diketuai Azmin sedang berunding dengan PAS untuk membincangkan PRK itu.

“Aturannya adalah PKR akan bertanding di Sungai Besar manakala PAS boleh bertanding di Kuala Kangsar tanpa campur tangan parti-parti Pakatan Harapan yang lain,” kata sumber yang tidak mahu dinamakan itu.

FMT juga difahamkan calon-calon yang dikenal pasti oleh kumpulan Azmin itu adalah Naib Presiden PKR, Shaharuddin Baharuddin atau bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.