Adenan mengumumkan senarai Jemaah Menteri baharu beliau pada sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Adenan sendiri menyandang dua portfolio iaitu Menteri Kewangan dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar.
Beliau turut menamakan tiga timbalan ketua menteri (TKM) iaitu ADUN Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah; ADUN Baleh, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan ADUN Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Douglas Uggah turut dilantik Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar, manakala Masing, yang juga bekas Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, kini Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan.
Abang Johari juga menjawat jawatan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan selain Menteri Perumahan dan Urbanisasi.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan ADUN Batu Kawah, Datuk Prof Dr Sim Kui Hian dilantik Menteri Kerajaan Tempatan manakala bekas Presiden Parti Rakyat Bersatu dan ADUN Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh merupakan Menteri Kewangan Kedua.
Turut dilantik menganggotai Jemaah Menteri negeri ialah ADUN Tebedu, Datuk Seri Michael Manyin Jawong (Menteri Belia dan Sukan dan Perpaduan) manakala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang menang tanpa bertanding bagi kerusi Bukit Sari adalah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan.
Wanita tunggal dilantik dalam Jemaah Menteri itu, Datuk Fatimah Abdullah, yang juga ADUN Dalat, menjadi Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti manakala Setiausaha Agung Barisan Nasional Sarawak dan ADUN Kemena, Datuk Stephen Rundi Utom dilantik sebagai Menteri Kemudahan Awam.
Adenan berkata beliau akan melantik menteri muda tidak lama lagi.
Mengulas barisan Jemaah Menteri negeri secara keseluruhan, ketiga-tiga timbalan ketua menteri yang baru dilantik mengucapkan terima kasih kepada Adenan kerana memberi kepercayaan kepada mereka.
Abang Johari berkata ia satu gandingan mantap, membabitkan tokoh lama yang cukup berpengalaman dan yang baharu, di samping tokoh-tokoh yang mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Persekutuan.
Begitu juga dengan Masing yang berkata beliau melihat pelantikannya ke portfolio baharu sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, memiliki satu kesinambungan.
Uggah Embas pula berkata beliau akan berusaha membantu Adenan dalam melaksanakan agenda dan program yang digariskan di negeri ini.