Tiga TKM untuk Sarawak?

Tiga TKM untuk Sarawak?

Datuk Seri Abang Johari Openg, Dr James Jemut Masing dan Datuk Seri Douglas Uggah Embas dinamakan untuk jawatan penting itu

sarawak
PETALING JAYA: Esok Sarawak mungkin menyaksikan perlantikan tiga timbalan ketua menteri, iaitu Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Datuk Seri Abang Johari Openg dan Dr James Jemut Masing.

Borneo Post Online melaporkan sumber mereka sebagai berkata, tri pimpinan kanan BN ini dijangka diangkat ke jawatan penting itu seiring dengan pembentukan jemaah menteri negeri yang lebih besar.

10 menteri penuh akan dilantik berbanding sembilan menteri penuh sebelum ini. Mereka yang dijangka tersenarai termasuk Datuk Seri Wong Soon Koh, Datuk Dr Sim Kui Hian, Datuk Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Fatimah Abdullah, Tan Sri William Mawan dan Datuk Seri Michael Manyin.

Semua, kecuali Douglas dan Kui Hian, adalah menteri penuh dalam barisan jemaah menteri penggal lepas.

Sementara itu, sekeping foto memaparkan enam calon langsung BN yang menang dalam pilihan raya baru-baru ini menyerahkan dokumen berlambangkan Pesaka Bumiputera Bersatu kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem tersebar di media sosial.

Mereka yang dirakamkan adalah Mawan (Pakan), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Gumbang (Batu Danau) yang merupakan bekas ahli Teras, serta Gerawat Jala (Mulu), Miro Simuh (Serumbu) dan John Ilus (Bukit Semuja).

Sekiranya benar mereka menyertai PBB, parti tunjang BN Sarawak itu akan mempunyai 46 ADUN daripada 82 wakil rakyat dalam Dewan Undangen Negeri Sarawak.

Jumlah itu seraya membolehkan PBB membentuk kerajaan tanpa rakan-rakan perikatan BN yang lain.

Sebelum ini, pimpinan komponen BN Sarawak lain, seperti James Masing daripada PRS dan Kui Hian daripada SUPP melahirkan rasa khuatir kerana PBB memiliki lebih daripada 41 anggota dalam DUN Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.