Saya takkan minta maaf – Yazid

Saya takkan minta maaf – Yazid

Yazid berkata, dakwaan Amy kononnya beliau memalukan Search dan tuduhan terhadap sekolah tahfiz itu adalah tidak benar.

yadiz_video

KUALA LUMPUR:
“Saya masih hidup, tetapi mereka layan macam saya sudah mati,” itulah luahan pemain dram kumpulan Search, Yazid Ahmad yang kecewa dengan tindakan ahli kumpulannya.

Katanya, beliau tidak akan memohon maaf kerana dakwaan yang dilontarkan vokalis kumpulan Search, iaitu Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman kononnya Yazid telah memalukan ahli kumpulan muzik itu adalah tidak benar.

“Saya rasa tidak perlu kerana tuduhan yang mereka buat bahawa saya memalukan Search dan tuduhan terhadap sekolah tahfiz itu adalah tidak benar, malah saya sendiri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai sekolah tahfiz itu.

“Laporan polis yang saya lakukan sebelum ini tetap akan saya teruskan. Bukan itu sahaja, petang ini juga saya akan tambah lagi laporan polis,” katanya dalam sidang media di GTower hari ini.

Pada 4 Mei lalu, Yazid membuat laporan polis mengatakan beliau belum menerima sebarang bayaran daripada deposit Konsert 35 Tahun Search yang didakwa sudah dibayar penganjur pada Disember 2015 lagi.

Konsert itu dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos ini.

Yazid turut mendakwa berlaku pecah amanah di kalangan ahli kumpulan itu kerana beliau tidak mendapat bahagiannya daripada deposit konsert itu sebanyak RM75,000 yang sepatutnya diberikan kepada lima anggota kumpulan terbabit.

“RM75,000 bayarannya saya bukan cakap kosong. Cek yang disain atas empat nama, seorang mendapat sebanyak RM18,750 dan nama saya telah dipinggirkan.

“Jika dibahagikan lima, setiap seorang akan mendapat RM15,000 dan bagi saya RM15,000 sudah cukup besar. Saya kini kurang upaya, hendak beli ubat, bayar sewa rumah. Malah, saya setiap minggu kena beli ubat tambah darah,” keluhnya.

Pada masa sama, Yazid turut menepis dakwaan isteri Amy, Norhasniza Hassan atau Nourish kononnya beliau yang memulakan provokasi sehingga menyebabkannya meninggikan suara.

“Nourish tanya saya nak apa, nak apa banyak kali. Kemudian abang tanyalah, mana bahagian abang. Dia ‘meletup’ macam orang histeria, handphone saya macam hendak meletup,” ujarnya.

Turut hadir dalam sidang media hari ini ialah isteri Yazid dan kawannya, Ashaari Mohd Nasir serta peguamnya, Mohamad Saiful Dzulhelmi Zulkifli.

Yazid mendakwa, penganiayaan terhadap dirinya itu didalangi seorang ahli Search.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu berkenaan walaupun diasak wartawan. Selain Yazid dan Amy, Search turut dianggotai Nasir Daud, Noordin dan Kid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.