Jalan Duta, Pantai tenggelam, lebih 100 terperangkap

Jalan Duta, Pantai tenggelam, lebih 100 terperangkap

Bomba bekerja keras membantu menyelamatkan lebih 100 pengguna jalanraya dan kenderaan yang terperangkap

banjir-duta

KUALA LUMPUR:
Beberapa kawasan di ibu negara tenggelam gara-gara banjir kilat, menyebabkan pengguna dan kenderaan mereka terperangkap dalam air separas pinggang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata kawasan yang paling teruk terjejas adalah kawasan Duta Vista di Jalan Duta menuju Damansara, dan kawasan pintu gerbang Universiti Malaya di Jalan Lingkungan Budi.

Jentera bomba daripada BBP Sentul, Hang Tuah, Gombak Selatan, Seputeh dan Pantai dengan kekuatan 33 anggota diturunkan untuk membantu pengguna yang terperangkap dan menangani banjir.

“(Di Jalan Duta) Kenderaan yang terlibat kira-kira 100 buah pelbagai jenis di sepanjang jalanraya. Anggota mengarahkan mangsa meninggalkan kenderaan masing-masing.

“(Di Jalan Lingkungan Budi) Kenderaan terlibat sebanyak 15 buah kenderaan pelbagai jenis dan 11 orang mangsa diselamatkan. Seorang wanita dewasa mengalami sesak nafas,” menurut laporan yang diterima FMT.

Bomba terima panggilan mengenai situasi di Jalan Duta pada jam 7.15 malam dan penyelamat tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian. Di Jalan Lingkungan Budi, penyelamat tiba dalam masa 19 minit selepas menerima panggilan pada jam 7.39 malam.

Kawasan Jalan Bangsar dilaporkan turut tenggelam, tetapi tiada kecemasan yang memerlukan bantuan bomba.

Pengguna media sosial yang menyedari situasi banjir kilat dengan pantas memuatnaik gambar-gambar kawasan terjejas.

Tersebar di WhatsApp dan Twitter seorang pemandu teksi kelihatan pasrah bersimpuh diatas bumbung teksinya yang separuh tenggelam.

“Kesian bro teksi tu dahlah Grabcar rampas rezeki dia,” twit JulesJulietta melihat gambar pemandu yang kelihatan pasrah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.