Asrama hangus, lima Al-Quran ditemui masih elok

Asrama hangus, lima Al-Quran ditemui masih elok

Anggota bomba menemui naskhah Al-Quran masih elok dalam bilik asrama yang musnah terbakar.

al-quran_bakar_600

BUTTERWORTH:
Lima naskhah Al-Quran di asrama maahad tahfiz di Bagan Belat di sini ditemui masih dalam keadaan elok meskipun bangunan itu hangus terbakar dalam satu kebakaran tengah malam kelmarin.

Naskhah Al-Quran itu dikatakan baru saja selesai dibaca lima pelajar dan ia ditemui berhampiran katil pelajar berkenaan yang sedang tidur ketika api marak.

Difahamkan, semua peralatan dan perabot musnah dengan anggaran kerugian RM600,000. Kebakaran itu menyebabkan 80% daripada premis itu musnah.

Pengasas maahad itu, Abdollah Ahmad dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata selepas anggota bomba selesai memadamkan kebakaran itu, mereka menemui lima naskhah Al-Quran masih elok dalam bilik asrama yang musnah terbakar.

Dalam kejadian kebakaran di banglo dua tingkat yang dijadikan maahad tahfiz itu, lima pelajar, seorang guru dan pasangan suami isteri pengasas Madrasah Tahfiz Al-Quran Raudhatul Ulum tinggal sehelai sepinggang selepas api marak.

Utusan Malaysia melaporkan kebakaran berlaku ketika pelajar sedang tidur selepas kelima-lima mereka selesai membaca Al-Quran.

Abdollah berkata salah seorang daripada pelajar menyedari asap kebakaran itu ketika bangun untuk minum air sebelum menjerit mengejutkan yang lain.

Asrama itu menempatkan 12 pelajar berusia antara 11 hingga 16 tahun tetapi pada hari kejadian hanya lima orang berada di asrama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.