Teresa mendakwa dua individu terbabit dibayar UMNO untuk memfitnah beliau sehingga sanggup berbohong dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ini kes lama mereka (Ramesh dan Tony bekas ahli DAP). Semua ini dibayar oleh UMNO untuk kacau saya dan pemimpin DAP. Sebenarnya tidak ada kes langsung seperti tuduhan yang dibuat dan mereka bohong dengan membuat laporan kepada SPRM, malah akaun di pusat khidmat saya yang digunakan untuk PRU telah diaudit.
“Tetapi disebabkan laporan mereka, SPRM telah lakukan siasatan dan SPRM pernah datang untuk siasat dan kami sudah serah dokumen kepada SPRM untuk mereka semak dan pegawai SPRM sendiri tahu laporan yang dibuat (Ramesh dan Tony) hanyalah bohong dan ini bukan kali pertama mereka pergi ke SPRM untuk buat tuduhan palsu terhadap saya,” katanya kepada FMT hari ini.
Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, tidak mungkin beliau mengambil peruntukan untuk kawasannya sendiri, sedangkan hampir RM16,000 diperlukan untuk membiayai operasi dan program anjuran pusat khidmatnya setiap bulan.
Tengah hari tadi, Ramesh yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) bersama Tony menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi mendesak campur tangan suruhanjaya itu berhubung kelewatan SPRM menyiasat kes rasuah Teresa.
Ramesh juga menyifatkan undang-undang di Malaysia bagaikan ‘kartun’ kerana SPRM gagal menyelesaikan kes Teresa yang didakwa menyeleweng wang sumbangan awam partinya pada PRU13 walaupun sudah hampir tiga tahun ia dibawa kepada pertubuhan itu.
“Kita amat kecewa dengan SPRM, Malaysia ini undang-undang dia pelik sedikit dan yang paling peliknya ia seperti kartun sebab saksi yang memberi keterangan kepada SPRM boleh disaman dalam kes ini, sepatutnya saksi diberi perlindungan.
“Sehingga hari ini, dah hampir tiga tahun dan saya diberitahu SPRM kes ini masih dalam disiasat dan pelbagai alasan tidak masuk akal diberikan SPRM. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan undang-undang Malaysia.
“Malah kalau isu 1MDB, melibatkan Datuk Seri Najib Razak, isu rasuah Khir Toyo, pembangkang dengan sepantas kilat desak SPRM dan kes tersebut terus disiasat dan kita tengok Khir Toyo dah dipenjarakan. Apa istimewa DAP ini sampai tiga, empat tahun ambil masa nak siasat,” katanya.
Pada Februari 2014, PMSP membuat satu laporan mendesak SPRM menyiasat dakwaan pecah amanah terhadap Teresa yang didakwa menyalahgunakan wang derma berjumlah RM117,230 untuk DAP Seputeh.
Teresa didakwa mengeluarkan wang itu secara beransur-ansur sebanyak lima kali menerusi cek sebelum menyalurkan wang itu kepada pihak ketiga tanpa kebenaran DAP.
Teresa pada Disember tahun lalu mendakwa, selepas menyiasat semua akaun dan dokumen di pusat khidmatnya SPRM memutuskan tiada kes terhadap Naib Pengerusi DAP itu.
Tony merupakan bekas pembantu peribadi Teresa. Menurut laporan media, khidmatnya ditamatkan pada 2007 atas dakwaan penyalahgunaan dana.