Koleksi baru itu dijangka dapat dilancarkan pada suku keempat 2016 dan disusuli usaha pengeluaran selepas itu.
Kerjasama itu antara lainnya menyaksikan sentuhan Pengarah Kreatif gedung fesyen itu, Datuk Seri Farah Khan menghasilkan rekaan semua pakaian seragam pelbagai jabatan MAB termasuk anak kapal, petugas di lapangan terbang serta di bahagian kejuruteraannya.
Ketua Pegawai Komersial MAB Paul Simmon berkata pakaian seragam terutamanya baju kebaya, terbukti menjadi simbol ikonik serta sumber kebanggaan syarikat berkenaan sejak sekian lamanya.
“Menerusi kerjasama ini, kami berharap dapat merealisasikan koleksi baru pakaian seragam yang bergaya namun ada fungsinya,” katanya dalam satu kenyataan.
Simmon berkata pakaian seragam baru itu akan terus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia selain menandakan bermulanya episod transformasi MAB bagi semua pelanggannya.
Sementara itu, Farah pula menyifatkan pakaian MAB adalah rangkuman pelbagai sisi yang dikaguminya serta kalangan ahli kumpulannya manakala rekaan itu turut menjadi cetusan inspirasi mereka.
“Saya amat teruja dan gembira dengan kerjasama ini serta peluang untuk kami menghasilkan impak positif daripada segi penampilan komprehensif anak kapal, petugas di bahagian perkhidmatan serta keseluruhan pasukan Malaysia Airlines,” katanya.
Beliau turut berkongsi matlamatnya untuk mengetengahkan kemesraan, keanggunan dan hospitaliti Malaysia dalam rekaan berkenaan.
Sentuhan gaya Farah sememangnya dikenali di peringkat antarabangsa dan boleh diperoleh di lebih 70 bandar di serata dunia.
– BERNAMA
