Mayat keenam dijumpai, operasi mencari bangkai pesawat

Mayat keenam dijumpai, operasi mencari bangkai pesawat

Mayat berkenaan ditemui berhampiran satu serpihan helikopter kira-kira 20 kilometer daripada Pusat Operasi SAR di pekan Lingga kira-kira pada pukul 10.45 pagi.

Datuk-Seri-Muhammad-Sabtu-Osman-mayat

PETALING JAYA:
Mayat keenam mangsa nahas helikopter Eurocopter AS350 dipercayai juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas ditemui di sekitar kawasan Triso, Sebuyau .

Mayat berkenaan ditemui berhampiran satu serpihan helikopter kira-kira 20 kilometer daripada Pusat Operasi SAR di pekan Lingga kira-kira pada pukul 10.45 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, mayat sudah dibawa ke Lingga pada pukul 11.35 pagi tadi dan akan diterbangkan ke Hospital Umum Kuching (HUS).

“Dengan penemuan mayat terakhir itu, semua enam mayat dipercayai sudah ditemui.

“Apapun kita masih menunggu pengesahan daripada laporan forensik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, lapor Berita Harian.

Ekoran itu, operasi mencari mayat ditamatkan dan pihak polis kini menumpu untuk mengesan kedudukan bangkai pesawat itu.

Pada 5 Mei yang lalu, dua hari sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak, sebuah helikopter membawa enam penumpang termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dilaporkan hilang.

Helikopter tersebut ketika itu dalam perjalanan dari Betong ke Kuching.

Turut berada dalam helikopter malang itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah; Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang juga Ahli Parlimen Kuala kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang, Kapten Rudolf Rex Ragas.

Kali terakhir pesawat jenis Eurocopter AS350 Écureuil menghubungi menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ialah pada pukul 4.32 petang dengan lokasi terakhir yang direkod ialah di Triso, Sebuyau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.