Demikian tegas pengamal perubatan tradisional, Hatijah Ismail berhubung iklan yang viral di media sosial baru-baru ini berhubung khidmat perubatan yang ditawarkan beliau.
Hatijah, 44, berkata, beliau percaya iklan yang diviralkan itu adalah berniat jahat untuk menjejaskan perniagaan perubatan tradisionalnya.
Katanya, dua laporan polis dan satu laporan terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah dibuat minggu lalu, bagi membolehkan perkara berkenaan disiasat.
“Saya juga dinasihat untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk mengesan dalang di sebalik iklan palsu yang diviralkan ini.
“Sejak iklan itu viral, saya menerima lebih 500 panggilan telefon bertanyakan hal itu. Itu tidak termasuk mesej menerusi aplikasi WhatsApp. Memang banyak sampai telefon saya rosak,” katanya ketika ditemui FMT di sini, baru-baru ini.
Hatijah berkata, sejak iklan palsu itu diviralkan, beliau sering menerima gangguan daripada orang ramai yang tidak dikenali sehingga trauma.
Sambil menyifatkan ia sebagai buli siber, Hatijah berkata, beliau tidak mampu berbuat apa-apa melainkan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya selain berdoa kepada Allah SWT.
“Biarlah Allah SWT yang membalas. Saya tidak boleh tuduh sesiapa. Perniagaan memang terjejas teruk akibat iklan palsu ini.
“Malah, reputasi saya dalam kalangan pelanggan termasuk beberapa orang ternama terjejas. Saya reda dengan ujian ini dan saya berdoa supaya mampu melaluinya,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan, Hatijah berkata, perubatan yang dipraktikkan adalah berlandaskan ayat Al-Quran serta amalan zikir dan puasa.
Katanya, beliau sendiri menolak amalan perubatan yang melanggar syariat agama serta mendedahkan bahawa beliau menuntut ilmu perubatan itu daripada guru agama di Indonesia dan India.