Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan juga berkata, pilihan raya kali ini mengembalikan semula sokongan pengundi di kawasan bandar khususnya masyarakat Cina kepada BN.
“Satu kemenangan yang sama sekali yang tidak disangka yang memberi isyarat pengundi di kawasan bandar kembali menyokong BN dan penolakan politik adu domba, kebencian dan fitnah yang dibawa pembangkang pada pilihan raya itu.
“Taktik yang mereka (pembangkang) lakukan untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat Sarawak sudah tidak berkesan dan mereka (rakyat) memberi isyarat agar pembangkang terutama DAP hentikanlah retorik seperti itu,” katanya, lapor Bernama.
Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan karnival dan melancarkan program kitar semula “Recycle For Life” peringkat Majlis Perbandaran Kulim.
Katanya, rakyat faham pembangkang tidak sesuai untuk menjadi kerajaan berdasarkan kepada situasi ketika ini.
“Jadi pembangkang boleh tetapi masih belum masanya menjadi sebuah kerajaan,” katanya.
Abdul Rahman berkata kemenangan itu memberikan semangat tinggi kepada BN untuk bekerja lebih keras menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang.
Semalam, BN Sarawak memenangi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri berkenaan.
Sementara itu, Abdul Rahman mengalu-alukan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mahu membuat penjelasan mengenai kos kajian
kebolehlaksanaan Projek Terowong Dasar Laut di negeri itu yang mencecah RM305 juta.
“Saya alu-alukan penjelasan beliau dan saya akan bagi respons segera selepas penjelasannya itu nanti,” katanya.
Beliau berkata sekiranya Lim mendakwa beberapa butiran mengenai pendedahannya sebelum ini tidak tepat, ia membuktikan dokumen milik kerajaan negeri juga adalah tidak tepat kerana ia merujuk kepada beberapa dokumen
milik kerajaan negeri.
Jumaat lalu Abdul Rahman meminta kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan Lim memberi penjelasan mengapa kos keseluruhan kajian kebolehlaksanaan Projek Terowong Dasar Laut di negeri itu mencecah sehingga RM305 juta.
Beliau berkata jumlah itu terlalu tinggi dan tidak munasabah kerana ia hanya sekadar kertas kerja asas dan laporan kajian bagi pelaksanaan projek.
Tambahan pula keperluan pelaksanaan projek itu masih diragui memandangkan pergerakan trafik di Jambatan Pulau Pinang secara umumnya masih rendah.
