Takziah, penghormatan untuk Noriah Kasnon

Takziah, penghormatan untuk Noriah Kasnon

Ahli politik dan pengamal media sosial menghulur takziah kepada keluarga allahyarham

norah tribute

PETALING JAYA:
Ucapan takziah dan penghormatan bercucuran untuk allahyarham Noriah Kasnon dan keluarga selepas pihak berkuasa mengesahkan timbalan menteri itu merupakan mangsa pertama kemalangan helikopter di Sebuyau, Sarawak.

Di Twitter, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berasa sedih mendengar pemergian Noriah.

“Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un. Sedih terima pngesahan bahawa Dato’ Noriah Kasnon telah pulang ke rahmatullah akibat nahas helikopter. Al-Fatihah.”

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri turut menghulurkan takziah kepada keluarga Noriah, begitu juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah.

“Saya & seluruh rakyat Kedah mengucapkan takziah kpd ahli keluarga Dato’ Noriah Kasnon,” cicip Bashah di Twitter miliknya.

Parti pembangkang PKR dan ADUN DAP, Teng Chang Khim turut mengucapkan takziah.

Netizens turut menyampaikan takziah dan berkongsi pengalaman mereka bersama allahyarham.

“Saya pernah bertemu Noriah Kasnon beberapa kali, beliau seorang yang sangat menyenangkan dan selalu tersenyum,” menurut seorang pengguna Twitter, namiamosh.

Seorang lagi pengguna, Willis Wonka berkata walaupun tidak menyokong BN, beliau menghormati Noriah yang sangat rendah hati.

Jujue Sandra pula berkata allahyarham wanita kental yang ‘simple’.

“Allah lebih menyayangimu. Salam takziah,” cicipnya.

Terdahulu, media melaporkan mayat Noriah ditemui di tebing Sungai Batang Lupar di Sebuyau pada tengah hari oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Beliau antara enam orang yang menaiki pesawat yang terbang daripada Betong ke Kuching semalam.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu merupakan mangsa kemalangan yang pertama disahkan pihak berkuasa. Allahyarham meninggalkan enam orang anak.

Suami Noriah, Asmuni Abdullah turut bersama allahyarham dalam pesawat ituvbersama pengiring keselamatan, Ahmad Sobri Harun; Ketua Setiausaha KPPK, Datuk Sundaran Annamalai; Ahli Parlimen Kuala Kangsar Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.