Banglo: LGE, isteri beri keterangan di SPRM

Banglo: LGE, isteri beri keterangan di SPRM

Pemilik banglo berkenaan menjualnya pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai semasa rumah itu lebih RM3 juta.

lim-guan-eng-wife

GEORGETOWN:
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan isteri tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini untuk memberi keterangan berhubung pembelian rumah banglonya di Jalan Pinhorn dan isu penjualan tanah di Taman Manggis.

Guan Eng serta isteri Betty Chew Gek Cheng, tiba jam 9.35 pagi dan turut disertai Penasihat Undang-Undang Ketua Menteri Gobind Singh Deo dan Ram Karpal Singh.

Berita Harian melaporkan turut mengiringi Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri Lim Hock Seng dan ADUN Sri Delima RSN Rayer.

Pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang meminta penilaian semula dibuat terhadap hartanah berharga RM2.8 juta dibeli Guan Eng sedangkan nilai semasa rumah itu lebih RM3 juta.

Shabudin turut meminta SPRM menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Sementara itu, isu tanah Taman Manggis bermula pada 2012 apabila kerajaan DAP Pulau Pinang membatalkan projek PPRT fasa kedua di tapak seluas 0.45 hektar di situ, dan menjual tanah terbabit kepada Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC), dipercayai pada 2011.

Penjualan tanah Taman Manggis dibangkitkan selepas dikaitkan dengan pembelian banglo oleh Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP pada harga luar biasa murah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.