PAS Sarawak tidak akan sertai BN

PAS Sarawak tidak akan sertai BN

Jofri berkata, hubungan dengan PKR mungkin masih ada, tetapi mereka berdepan masalah komunikasi di sesetengah kawasan.

Bahasa,-PRN-Sarawak,-PAS,-Jofri-Jaraiee,-Arif-Paijo
MIRI: PAS Sarawak hari ini menyatakan pendirian mereka tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) negeri, apatah lagi menyertai gabungan itu.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, mereka akan menjadi ‘pembangkang yang membina’ serta semak dan imbang kepada kerajaan negeri.

“Sebarang dakwaan bahawa PAS akan bersama BN sama sekali tidak benar.

“Malah, PAS akan terus berjuang untuk menggantikan BN bagi menegakkan pemerintahan Islam yang adil untuk semua masyarakat Sarawak,” kata calon DUN Pujut itu lagi.

Beliau membuat penegasan itu, kerana menurutnya masih ada yang meragui kedudukan PAS selaku pembangkang di Bumi Kenyalang.

“Mungkin dekat pilihan raya isu ‘kerajaan perpaduan’ dimainkan lagi. (Tetapi isu ini) tidak wujud di Sarawak,” katanya.

Mengenai hubungan PAS dengan parti pembangkang lain, beliau berkata: “Dengan DAP sudah putus. Hubungan dengan PKR mungkin masih ada, tetapi ada masalah komunikasi di sesetengah kawasan.”

Sebelum terkuburnya Pakatan Rakyat di peringkat pusat, DAP Sarawak terlebih dahulu keluar daripada pakatan itu kerana wujud perbezaan dengan PAS.

Dalam pada itu, calon PAS di kerusi Lambir, Arif Paijo berkata, rakyat Sarawak semakin menerima PAS.

“Sepanjang tempoh kempen ini, banyak perbezaan berbanding PRU lalu. Dahulu di Lambir, ada kawasan yang kita tidak boleh masuk.

“Di Samariang dan Muara Tuang pula, buat ceramah pun di dalam rumah. Kini kita buat ceramah di luar dan rakyat sendiri menjemput kita,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.