Timbalan Presiden PBB itu tidak melepaskan peluang membincangkan isu-isu yang membabitkan kepentingan negeri dan rakyat Sarawak dengan kehadiran ramai pemimpin kerajaan Persekutuan di negeri ini, sempena PRN-11.
Isu sering dibangkitkan beliau ialah mengenai pembangunan di luar bandar serta peruntukan yang lebih bagi memajukan kawasan berkenaan.
Semasa majlis perasmian Pejabat Mikro Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bario oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiga hari lepas, Jabu dalam ucapan aluannya memohon supaya Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dapat diwujudkan di kawasan itu.
Ini bagi memudahkan penduduk tanah tinggi Bario yang terletak di timur laut Sarawak, boleh mendapatkan pelbagai kemudahan daripada kerajaan dan swasta memandangkan perjalanan dari kawasan itu ke bandar amat jauh, malah untuk ke Miri memakan masa 15 jam perjalanan darat.
Beliau turut memohon kerajaan pusat memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1.5 juta bagi menaik taraf beberapa jalan tanah merah sekitar Bario, yang menyukarkan pergerakan penduduk di situ.
Ahmad Zahid telah meluluskan permohonannya semasa lawatan ke kawasan majoriti kaum Kelabit itu, dengan mengumumkan Pejabat Mikro KDN tersebut akan dinaik taraf menjadi RTC.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan peruntukan RM2 juta untuk menaik taraf jalan di kawasan majoriti kaum Kelabit tersebut.
Sebaik pengumuman itu, Jabu meluru memeluk Ahmad Zahid yang ketika itu sedang berucap, bagi melahirkan rasa gembiranya.
Jabu dalam ucapannya juga berkata walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk masyarakat luar bandar seperti bekalan elektrik dan air, ia masih tidak mencukupi.
Beliau turut menekankan bahawa anak-anak dari kawasan luar bandar Sarawak, ramai yang bijak dan terkenal, termasuk dari Bario.
“Mereka berpendidikan tinggi. Mereka belajar bersungguh-sungguh serta bekerja keras dan juga cerdik. Kualiti penduduk luar bandar kita kadang-kadang sama, jika tidak lebih baik daripada orang bandar. Kami percaya kepada perkara itu…berilah kami peluang,” katanya.
Antara anak kelahiran Bario yang berjaya ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala yang berketurunan Kelabit, dan pernah bertugas sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS.
-Bernama