Bahagian Komunikasi Korporat FINAS berkata, sebagai agensi peneraju pembangunan dan transformasi industri perfileman Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), FINAS menyokong penuh agenda kerajaan bagi kesejahteraan rakyat Malaysia.
“FINAS ingin menyatakan akan terus bersifat terbuka bagi sistem penyampaian perkhidmatan kami kepada pihak industri melalui saluran-saluran diplomasi yang telah disediakan,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT, semalam.
Sebelum ini, GAFIM membangkitkan beberapa isu dalam surat rasmi yang dihantar 8 Mac lalu antaranya mengenai Surat Perakuan Penggambaran (SPP) dan Wajib Tayang di bawah kendalian FINAS yang dikatakan disalah guna oleh Kamil, lapor Harian Metro.
Media itu turut melaporkan tindakan Jurey telah membuatkan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Persatuan Sinematografer Malaysia (MYSC) dan Persatuan Pos-Produksi & Animasi Malaysia (Postam) nekad keluar daripada GAFIM.
FINAS menegaskan pihaknya tidak akan masuk campur dengan sebarang agenda dan masalah dalaman persatuan mahupun mana-mana individu.
Agensi itu tetap dengan keputusan untuk terus menyokong usahasama dan kerjasama yang utuh sebagai sinergi pembangunan industri.
“Kami mengalu-alukan semua persatuan untuk berbincang secara harmoni bersama-sama dan mengenepikan kepentingan peribadi supaya transformasi industri ini dapat dijayakan,” ujar agensi itu.
Sementara itu, FINAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada agensi itu dalam merealisasikan program-program pembangunan industri yang telah dirancang.
Antara yang didapati jelas menyokong agensi itu serta ketua pengarahnya adalah pengarah, pelakon dan pelawak, Afdlin Shauki, Lisa Surihani, Sharifah Amani, Nadia Aqilah dan Syafie Naswip.
Mereka menyatakan sokongan dengan meletakkan hashtag #KamiSokongKamil dan #KekalkanKamil di laman sosial Instagram dan Twitter masing-masing.
