Ini kerana, katanya, MCA tidak boleh diharapkan, disebabkan orang Cina beragama Islam tidak pernah mendapat tempat di dalam parti itu.
“Sebut sahaja MCA, pertubuhan ini terlalu rasis sehingga berani mengatakan Perlembagaan Persekutuan rasis,” tulisnya dalam kolumnya di Sinar Harian yang bertajuk ‘Di manakah warna-warni Islam?’ hari ini.
Ridhuan dalam masa sama turut menyuarakan kesedihannya apabila melihat organisasi Islam penuh dengan orang Melayu dan tidak ada bangsa lain, iaitu Cina, India, Orang Asli atau Bumiputera Muslim yang layak.
“Hatta organisasi yang paling dekat dengan mereka selaku asnaf seperti institusi zakat tidak ada seorang pun mualaf dilantik. Penuh dengan Melayu berpangkat, orang kaya itu dan ini, Tan Sri, Puan Sri, Datuk Datin dan sebagainya seolah-olah tidak ada mualaf.
“Jika sekadar pangkat dan gelaran menjadi ukuran, kadangkala perompak pun dapat. Pergilah buat kajian,” katanya.
Dalam pada itu, Ridhuan turut menafikan tuduhan ultra kiasu kononnya beliau mendapat habuan daripada orang Melayu atau UMNO kerana menjadi lebih Melayu daripada Melayu.
Ridhuan berkata, sepanjang lebih 30 tahun memeluk Islam, beliau tidak pernah meminta-minta, apa yang dimilikinya sekarang adalah hasil titik peluhnya dengan izin Allah SWT.
“Saya lantang menyuarakan hak Melayu dan Islam sehingga dilarang memasuki Sarawak dan Singapura kerana membela orang Melayu beragama Islam. Dibenci oleh sebahagian Cina dan sumpah seranah mereka.
“Saya tidak kisah itu semua kerana kita seagama. Jika ditakdirkan Melayu itu tidak Islam, tidak mungkin saya jadi begini.
“Saya menyeru kepada kita agar meletakkan Ummatan Wahidah di hadapan, bukannya Melayu, pangkat dan gelaran. Melayu tak ke mana tanpa Islam. Lihatlah Islam daripada kaca mata yang luas, bukan bangsa,” jelasnya.
