Mejar Zaidi masuk DAP bukan pengkhianatan terhadap Islam

Mejar Zaidi masuk DAP bukan pengkhianatan terhadap Islam

AMANAH memahami keinginan Mejar Zaidi untuk mematahkan persepsi DAP parti anti-Melayu Islam.

amanah-zaidi
PETALING JAYA : Parti Amanah Negara (AMANAH) menghormati hak dan pilihan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad yang keluar dari parti itu dan memasuki DAP.

Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir berkata, tindakan Mejar Zaidi tidak dilihat sebagai pengkhianatan terhadap Islam atau menyalahi akhlak Islam.

“Dari apa yang dijelaskan, penyertaan beliau bersama DAP adalah untuk menangani fitnah yang terus dilemparkan terhadap DAP khususnya oleh UMNO dan pihak-pihak tertentu bahawa DAP adalah parti anti-Melayu Islam.

“AMANAH menganggap cita-cita tersebut sebagai cita-cita yang murni kerana ingin membela pihak yang dizalimi dan difitnah.

“AMANAH menyedari bahawa perkauman adalah senjata paling ampuh yang kembali digunakan UMNO, maka keinginan Mejar Zaidi untuk mematahkan senjata ini difahami dan dikongsi bersama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

AMANAH mendoakan semoga Mejar Zaidi terus maju memperjuangkan keadikan dan kebajikan bagi rakyat melalui DAP, dan melahirkan penghargaan di atas sumbangan dan pengorbanannya semasa bersama AMANAH.

Beliau dalam masa yang sama turut mengesahkan keahlian Mejar Zaidi dalam parti AMANAH telah terbatal dengan sendirinya kerana memasuki DAP.

“Semoga segala sumbangan dan pengorbanannya akan diterima Allah sebagai satu amalan soleh dan diberikan ganjaran yang setimpalnya,” tambah Anuar.

Kelmarin, Malaysiakini melaporkan DAP Pulau Pinang mengumumkan kemasukan lapan ahli Melayu baru, termasuk dua daripada PAS dan seorang daripada AMANAH iaitu Mejar Zaidi.

Zaidi, yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, mula dikenali selepas membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013.

Beliau dipecat daripada tentera udara oleh mahkamah tentera pada tahun 2014 dan selepas itu menyertai PAS. Beliau kemudian meninggalkan PAS untuk menyertai AMANAH tahun lepas, selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan PAS.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.