Ahmad Razif kekal MB Terengganu

Ahmad Razif kekal MB Terengganu

Perkara itu diputuskan selepas Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Sultan Terengganu semalam.

najib,razif
.KUALA LUMPUR: Ahmad Razif Abdul Rahman akan terus menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar Terengganu, umum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata perkara itu diputuskan dalam pertemuan dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semalam selepas mendapat perkenan menghadap baginda.

Dengan ketetapan ini, Najib berharap tiada lagi sebarang andaian dan persoalan mengenai kedudukan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar dan menganggap isu kepimpinan negeri itu telah selesai.

“Sekarang ini perlu tumpu kepada tanggungjawab dan tugas untuk terus memastikan pentadbiran kerajaan Terengganu berjalan lancar untuk menjamin pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Spekulasi pertukaran Menteri Besar Terengganu bertiup kencang selepas Ahmad Razif dilucutkan darjah kebesarannya berkuatkuasa 22 April lalu.

Pelbagai andaian diperkatakan mengenai perlucutan dan pertukaran itu, namun Ahmad Razif tekad buktikan taat setia kepada Sultan Terengganu dan akan terus menggalas tugas Menteri Besar selagi diberi mandat.

Ketika ditanya samada Ahmad Razif akan dianugerahkan semula darjah kebesaran yang telah dilucutkan, Najib berkata penganugerahan dan pelucutan darjah kebesaran merupakan hak Sultan Terengganu dan beliau tidak mahu masuk campur urusan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.